Shafie Umum Tanah Ladang Bagahak Dikembalikan Kepada Rakyat

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
SANDAKAN: Kira-kira 2,000 peserta Ladang Bagahak, Lahad Datu akan mendapat kembali kembali tanah mereka yang dituntut daripada Sawit Kinabalu sejak 12 tahun lalu.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, tanah seluas kira-kira 6,800 hektar itu telah dituntut sejak zaman pemerintahan kerajaan terdahulu, namun tidak ditunaikan justeru demi memastikan rakyat mempunyai tanah, Kabinet Sabah memutuskan agar tanah itu dikembalikan.

Katanya, pada masa sama, Sawit Kinabalu akan diberikan pampasan tanah lain berkeluasan 18,000 hektar untuk dibangunkan bagi memastikan agensi kerajaan itu dapat terus menjana pendapatan.

“Kita berikan semua penduduk, pekebun kecil hak mereka yang dahulu kita urus dengan baik dan kita bincang dengan syarikat-syarikat yang terbabit, yang penting kita dapat memenuhi apa yang dituntut oleh pekebun-pekebun kecik di kawasan ini jadi saya amat gembira dan ucapkan tahniah kepada Sawit Kinabalu.alu…

“Saya ingat pekebun kecil yang terbabit ini sejak 1996 tetapi penduduk di situ sudah berada dari tahun 1970-an, 1980-an di mana kerjasama penduduk kampung minta supaya dibangunkan jadi Sawit Kinabalu membantu membangunkan ladang itu tetapi oleh kerana tuntutan mereka mahukan tanah itu,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Mohd. Shafie berkata, bagi syarikat swasta yang terlibat di tanah tersebut, kerajaan akan menyelesaikannya dan berharap agar isu itu tidak dipanjangkan ke mahkamah kerana akan melambatkan lagi proses penyerahan hak tanah.

Paling penting katanya, masalah tuntutan tanah itu dapat diselesaikan bukannya menjadi kerajaan yang sekadar mengetahui masalah rakyat tetapi tiada jalan penyelesaian diambil.

“Apa yang penting kita tahu masalah itu kita selesaikan, bukan hanya tahu masalah tetapi tiada penyelesaian, masalahnya yang tuntut tanah ini mereka punya dan kita serahkan kepada mereka dan yang ini kita buat manakala ada syarikat itu kita uruskan lain mereka telah belanjakan duit hampir RM5 juta yang itu kita ketepikan dulu kita akan selesaikan.

“Tapi ini kita mahukan supaya apa yang diperlukan oleh rakyat seperti tuntutan mereka selama ini dan kita penuhi hari ini untuk kita serahkan geran tanah kepada setiap pekebun-pekebun kecil yang ada di kawasan Bagahak,” katanya.

Tambah beliau, bagi tanah pampasan yang diberikan kepada Sawit Kinabalu, agensi itu telah diarahkan untuk mempelbagaikan tanaman termasuk kelapa pandan kerana mempunyai permintaan yang tinggi di pasaran serta turut menghasilkan produk hiliran.