Shafie Tiup Semangat Perjuangan Di Hati Rakyat Untuk Pertahankan Sabah

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
TAWAU: Kempen selama tiga hari Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal di pantai timur sebaik sahaja proses penamaan calon tamat menyaksikan Warisan Plus mendapat sokongan padu daripada rakyat.

Mohd. Shafie ternyata seorang pemimpin yang mendapat kepercayaan untuk mengetuai penyatuan rakyat Sabah dalam memastikan Sabah tidak lagi dibuli oleh pemimpin Malaya daripada parti Malaya.

Sebagai parti berbilang kaum, Warisan sedang membina momentum kuat menjelang hari mengundi pada 26 September depan.

Di setiap tempat persinggahan beliau iaitu Semporna, Lahad Datu, Kunak dan Tawau, Mohd. Shafie membawa mesej penyatuan rakyat Sabah untuk bangkit mempertahankan hak-hak Sabah yang dicuri, dirampas dan dinikmati oleh kroni pemimpin terdahulu.

“Maruah rakyat Sabah bukan bernilai RM200 yang kalau diberikan kita terus menyokong parti Kuala Lumpur, nilai kita lebih besar daripada itu.

“Mereka sudah terlalu lama memerintah sehingga habis hasil bumi Sabah dirampas tetapi rakyat Sabah masih yang termiskin, jadi ingatlah jangan letakkan masa depan kita di tangan Kuala Lumpur, bukan Kuala Lumpur yang menentukan hak kita tetapi Sabahan sendiri yang tentukan,” katanya di setiap ucapan beliau.

Setiap persinggahan Mohd. Shafie, orang ramai yang hadir yang mendengar amanat beliau tidak kira daripada bangsa Bajau, Bugis atau Cina terpesona dengan kata-kata pemimpin itu.

Tempoh dua tahun pemerintahan Warisan Plus ternyata tidak cukup bagi rakyat Sabah, mereka mahukan mandat diberikan kepada kerajaan negeri sedia ada dipanjangkan.

Reformasi pentadbiran yang dibawa Mohd. Shafie untuk membina nilai kehidupan rakyat bukannya material semata-mata ternyata membuka minda dan hati rakyat Sabah tentang pentingnya untuk mempertahankan negeri ini daripada politik kotor Malaya.

Mantan Setiausaha MCA Kudat Wong Wei Chong menyerahkan borang keahlian Warisan kepada Shafie.

Bercakap dari hati, keikhlasan Mohd. Shafie dalam perjuangan semakin terserlah.

Perjuangan Warisan Plus adalah daripada rakyat dan untuk rakyat.