Shafie Tinjau SOP Sekolah, Luluskan RM500,000 Baiki Infrastruktur

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
KOTA KINABALU: Tinjauan pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) sempena pembukaan sekolah oleh Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Kota Kinabalu pagi ini membawa khabar gembira kepada sekolah tersebut.

Ketua Menteri yang hadir ke sekolah itu pada pukul 8 pagi ini meluluskan segera peruntukan RM300,000 untuk membina dewan terbuka sekolah dan RM200,000 untuk menaik taraf jalan masuk ke sekolah tersebut.

Keadaan infrastruktur yang kurang baik itu disampaikan sendiri Pengetuanya, Datin Hasnah Mohd. Yakob ketika berjumpa dengan Ketua Menteri.

Ketua Menteri menyampai pelitup muka kepada Pengetua Nurani Fauziah Durin.

Kemudahan dewan terbuka itu adalah bagi memudahkan aktiviti pelajar tahfiz memandangkan jumlah bilik darjah yang ada tidak lagi mampu menampung pertambahan pelajar.

Selepas sekolah tersebut, Ketua Menteri turut meninjau pelaksanaan SOP di Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Peter Mojuntin, Penampang.

Turut hadir, Menteri Pelajaran dan Inovasi, Datuk Dr. Yusof Yacob dan pembantunya, Jenifer Lasimbang; Pengarah Pelajaran, Dr. Mistrine Radin, Ahli Parlimen Penampang, Datuk Darell Leiking serta Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Safar Untong.

Mohd. Shafie meninjau kerja-kerja pembersihan SMK St Michael.

Dalam sidang akhbar di sekolah itu, Mohd. Shafie berkata, fokus kerajaan negeri adalah memastikan semua 221 sekolah kerajaan dan 15 sekolah swasta seluruh negeri mematuhi SOP pembukaan sekolah bagi mencegah penularan wabak Covid-19.

Katanya, sebelum sekolah dibuka, Kerajaan Sabah telah mengedarkan sebanyak 750,000 pelitup muka dan 20,000 botol cecair pembasmi kuman di semua sekolah sebagai persediaan.

“Kita perlu memastikan supaya kesiapsiagaan kita bukan hanya untuk membolehkan supaya anak-anak belajar dapat bermula untuk mendapatkan ilmu pengetahuan, tetapi di samping itu penting juga untuk memastikan supaya keselamatan dan kesihatan mereka dalam keadaan malapetaka Covid-19 ini perlu dipantau setiap masa.

“Saya telah maklumkan dengan pengarah kesihatan, saya mahu laporan penuh setiap hari, semua 221 sekolah seluruh negeri bukan hanya pelajar, perkembangan mereka, guru-guru yang ada, termasuk pegawai keselamatan yang menjaga di pintu pagar,” katanya.

Ketua Menteri berkata, Kerajaan Sabah akan memastikan kesihatan dan keselamatan semua 45,000 pelajar dan 16,500 guru di Sabah dititik beratkan.

“Jadi saya melihat ini merupakan satu langkah permulaan untuk membolehkan kita mengalakkan anak-anak kita di peringkat sekolah untuk mula nak belajar.

“Jadi kita juga harap, pengarah pelajaran di peringkat negeri sentiasa mengingatkan setiap hari, saya nampak sekolah tadi, bila saya lalu, ada lorong dia, SOP ada, saya ingat ada pematuhan dia,” katanya.