KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Mohd. Shafie Apdal hari ini menerima kunjungan hormat pemimpin-pemimpin Kristian dari Eropah diketuai Penasihat Agama Kepada Ratu England, Elizabeth II iaitu Uskup Agung Justin Portal Welby.
Mohd. Shafie menjemput Welby untuk datang ke pejabatnya sempena kehadiran pemimpin tertinggi England itu dalam Persidangan Gereja-Gereja Anglikan Asia Timur yang sedang berlangsung di negeri ini.
Welby ketika ditemui selepas itu berkata, beliau kagum dengan masyarakat majmuk di negeri ini serta Malaysia yang hidup dalam suasana aman dan harmoni tanpa timbul sebarang masalah.
Welby berkata, keindahan Sabah amat menarik perhatiannya manakala Malaysia sendiri sebagai negara berbilang kaum adalah contoh terbaik kepada negara-negara lain di dunia tentang bagaimana caranya untuk hidup harmoni.
“Malaysia pernah melalui kesukaran tetapi dengan berani sentiasa mampu menanganinya, kepelbagaian sentiasa menjadi pedoman semasa berjuang, persoalannya adalah bukan sama ada anda berjuang, tetapi perjuangan itu, justeru banyak lagi yang kami perlu belajar daripada Malaysia,” katanya.