Shafie Terima Kunjungan Duta Norway

706

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Shafe Apdal menerima kunjungan hormat daripada Duta Norway ke Malaysia, Gunn Jorid Roset di pejabat beliau di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS) hari ini.

Dalam pertemuan selama hampir satu jam itu, kedua-dua pihak membincangkan tentang potensi kerjasama yang boleh dijalankan antara Norway dan Sabah terutama berkaitan industri pelancongan.

Semalam, Norway telah membuka pejabat konsulatnya di Jalan Sepanggar bagi memudahkan urusan rakyat di negara itu yang berada di Sabah.

Roset ketika ditemui Borneo Today selepas itu berkata, terdapat kira-kira 700 rakyat Norway berkunjung ke Sabah setiap tahun, justeru wujud keperluan pembukaan pejabat konsulat itu selain memudahkan apa-apa urusan dengan kerajaan negeri pada masa depan.

“Kami telah merancang perkara itu sejak beberapa lama sebab jauh dari Kuala Lumpur, maka kami mahu pastikan jika rakyat kami di sini memerlukan bantuan, pejabat kami ada di sini.

“Tetapi saya juga rasa ini adalah isyarat kepada polisi kerajaan kami yang fokus kepada teknologi hijau dan biodiversiti iaitu perkara yang boleh dilakukan bersama antara Norway dan Sabah, saya rasa ini satu kebetulan yang baik antara negara kami dan negeri ini,” katanya.