Shafie Terima Baik Ahli Parlimen Labuan Rozman Sertai Warisan

2616
Rozman Isli dan penyokongnya sertai Parti Warisan Sabah.

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Ketua Menteri merangkap Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal menyifatkan tindakan Ahli Parlimen (MP) Labuan menyertai Warisan sebagai satu langkah yang baik.

Tindakan MP Labuan Datuk Rozman Isli itu akan membolehkan Labuan terus membangun dibawah kerajaan pada masa kini.

“Labuan yang berkait langsung dengan tanah Sabah akan kita beri tumpuan dan tidak ditinggalkan.

SHAFIE APDAL

“Banyak industri di situ termasuk Sabah Energy yang harus ditingkatkan keupayaannya dan tidak boleh ditinggalkan seiring dengan usaha Sabah membangunkan sektor perindustrian.

“Kemasukan MP Labuan itu akan membantu menjayakan usaha ini,” katanya ketika ditanya tentang keputusan MP Labuan yang menyertai Warisan setelah keluar Umno pada pagi Khamis.

MP Labuan dalam satu kenyataan memaklumkan keputusannya menyertai Warisan kerana beliau yakin masa depan Labuan jauh lebih baik jika ditadbir dibawah kerajaan sekarang.

Keputusan itu dibuat setelah beliau berfikir panjang demi masa depan dan kesejahteraan rakyat Labuan.

Dari kiri Junz Wong, Loretto JJ Padua, Rozman Isli dan Darell Leiking.

Katanya, beliau percaya hubungan antara Labuan dan Sabah akan bertambah rapat dengan penyertaannya dalam sebuah parti tempatan yang berpusat di Sabah.

Rozman berkata, keputusan itu dibuat kerana beliau menyedari Labuan memerlukan kuasa yang lebih luas bagi membolehkan wilayah itu bergerak lebih pantas.

“Proses membuat keputusan ini mengambil masa yang lama. Disebabkan suara rakyat kurang diberi perhatian dan ini sangat merugikan Labuan yang memerlukan pelaburan berskala besar daripada pihak kerajaan dan swasta.

“Atas sebab itulah saya mahu perubahan struktur dalam pentadbiran Labuan harus dilakukan.

Rozman isikan borang keahlian Parti Warisan Sabah.

“Saya percaya fasa baru dalam hubungan politik, ekonomi dan pentadbiran yang lebih erat antara Sabah dan Labuan dapat dipertingkatkan. Ini yang diinginkan pucuk pimpinan Warisan menerusi calon Parlimen Labuan semasa Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14),” katanya.

Beliau juga ingin bersama-sama dengan pemimpin Sabah dan Sarawak lain dalam memperjuangkan hak-hak Sabah yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang perlu dikembalikan kepada kedua-dua wilayah itu.

Kenyataan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk merealisasikan hasrat itu adalah satu tindakan yang baik.

Rozman adalah Ahli Parlimen dari parti Umno yang kedua memutuskan meninggalkan parti itu selepas Ahli Parlimen Kimanis Anifah Aman yang keluar dari Umno pada 19 September lalu.