Shafie: Teliti Secara Mendalam, Ajak MP Umno Sertai Warisan Dan PH

2909

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KUALA LUMPUR: Daripada sibuk menawarkan Ahli Parlimen (MP) Umno menyertai Parti Warisan Sabah (Warisan), lebih baik berikan fokus untuk membangunkan Sabah.

Demikian kata Ketua Menteri Sabah merangkap Presiden Warisan Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal ketika ditanya kemungkinan Warisan untuk mendekati Ahli-ahli Parlimen Umno menyertai Warisan.

Beliau berkata, buat masa ini Warisan tidak berniat untuk mendekati mana-mana Ahli-ahli Parlimen Umno bagi menyertai Warisan.

Beliau berkata, pihaknya mahu memberi fokus kepada usaha membangunkan Sabah.

“Kita mahu fokus bangunkan Sabah, kita mahu mentadbir Sabah, kita mahu mendapatkan wang untuk membayar hutang sebab bukan hanya Kerajaan Persekutuan yang berhutang, kita (Sabah) juga mempunyai hutang yang perlu dibayar,” katanya ketika ditemui selepas Pembentangan Belanjawan 2019, di Dewan Rakyat, di sini pada Jumaat.

Kemudian ditanya kewajaran Pakatan Harapan (PH) dan Warisan untuk menerima Ahli Parlimen Umno menyertai parti mereka Shafie berkata, perkara itu perlu dilihat secara mendalam.

“Kita akan melihat perkara itu kerana kita mempunyai Pilihan Raya Umum. Antara sebab kita mahu mengambil alih kerajaan adalah untuk menjatuhkan Umno.

“Sudah tentu kita akan melihat perkara ini secara mendalam. Namun mereka boleh menyertai PH tetapi mereka tidak boleh ambil sebarang jawatan sebab tidak adil sekiranya mereka baru sertai PH tapi tiba-tiba memegang jawatan. Jika perkara itu berlaku tidak perlulah kita membentuk kerajaan,” jelasnya.