Shafie Tegur Muhyiddin Kerana Enggan Bahas Pakej Bantuan

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal menggunakan sidang Dewan Rakyat hari ini untuk menegur Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana keengganannya membahaskan peruntukan sebanyak RM250 bilion yang telah dibelanjakan Kerajaan Persekutuan untuk berdepan Covid-19

Ketua Menteri berkata, Sabah telah membuktikan di dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) bahawa persidangan masih boleh dijalankan untuk memastikan setiap wang kerajaan yang digunakan dapat diperjelaskan.

Tegas beliau, perbahasan itu perlu kerana telah menjadi tanggungjawab Dewan Rakyat untuk memastikan tiada kekeliruan berlaku dalam penyaluran bantuan.

“Kita sedar dan tahu bahawa kebimbangan di akar umbi semakin ketara meningkat dan bantuan yang sudah pun diumumkan dan saya amat setuju sepatutnya perkara ini kita bahaskan kerana kalau Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah boleh bersidang tiga hari dan kita bahaskan dan kita jelaskan pemandu teksi pun kita bagi, pemandu lori pun kita bagi dan ini merupakan tanggungjawab kerana jumlahnya agak besar dan rakyat kita mahu pastikan supaya mereka tidak berada dalam kekeliruan,” katanya.

Mohd. Shafie yang juga Ahli Parlimen Semporna berkata demikian ketika sesi soal jawab lisan dalam Sidang Dewan Rakyat hari ini.

Ketua Menteri berkata, perbahasan itu penting untuk menjelaskan bagaimana Kerajaan Persekutuan dapat mengurangkan impak Covid-19 terhadap ekonomi contohnya di Sabah selepas banyak syarikat muflis dan hotel-hotel turut menghentikan operasi.

“Namun demikian saya nak tanya kepada Perdana Menteri, kebimbangan saya tentang pengangguran yang besar di Sabah, ada banyak syarikat yang sudah tutup bankrap hotel pun sudah tutup dan keadaan ini membimbangakn kita nak tanya melalui sektor berapakah jumlah pengangguran yang telah pun dicatatkan.

“Ramai di antara rakyat kita yang sewa rumah sekarang tak mampu bayar belanja untuk anak-anak pun tak mampu tapi kalau kita dengar pengumuman-pengumuman mikro kredit contohnya di Sabah ada penjelasan dan sudah sampai dan kita juga mahu tahu di peringkat negeri ada tak usaha di peringkat Persekutuan dan negeri yang ada kerana kita membina negara kita nak tahu kerjasama yang perlu kita lahirkan untuk membolehkan pemulihan ekonomi yang ada sampai atau tidak sampai,” kata Mohd. Shafie.

Menjawab persoalan tersebut, Muhyiddin berkata, jumlah pengangguran dijangka meningkat sehingga 860,000 akhir tahun ini, namun Kerajaan Persekutuan akan melakukan yang terbaik untuk mengatasinya.

“Kita telah jelaskan untuk tahun ini disebabkan masalah Covid-19 memang peratusan pengangguran itu meningkat di seluruh dunia masalah besar, Malaysia kadar yang diunjurkan lebih kurang lima peratus sekarang ini 720,000 dan saya fikir akhir tahun boleh meningkat sampai 860,000 bilangan,” katanya.