Shafie Tegaskan Sabah Tiada Kuasa Keluarkan Kad Pengenalan, Pasport

3317

PENAMPANG: Kerajaan Sabah tidak mempunyai bidang kuasa untuk mengeluarkan kad pengenalan dan pasport kepada mana-mana individu, kata Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Menegaskan perkara itu, Mohd Shafie berkata, bidang kuasa mengeluarkan dokumen pengenalan diri hanya terletak dalam bidang kuasa jabatan peringkat Persekutuan iaitu Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

“Saya ingin menyatakan di sini, kerajaan Sabah tidak mengeluarkan dokumen pengenalan diri. Kita tidak punya kuasa, yang punya kuasa mengeluarkan kad pengenalan adalah JPN dan mengeluarkan pasport ialah JIM bukan jabatan di Sabah,” katanya.

Beliau yang juga Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) berkata demikian ketika menyampaikan Ucapan Dasar Presiden pada Perhimpunan Agung Tahunan Warisan 2018/2019 di sini, Ahad.

Mohd Shafie menyatakan perkara berkenaan kerana ada pihak tertentu mendakwa kerajaan Sabah di bawah pentadbiran Warisan telah mengeluarkan dokumen pengenalan diri kepada Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI).

“Saya harap pihak tertentu yang menyatakan kita (kerajaan Sabah) mengeluarkan dokumen (pengenalan diri) bertanya kepada Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin adakah saya mempunyai kuasa untuk mengeluarkan dokumen atau tidak,” kata Mohd Shafie.

Sementara itu, Timbalan Ketua Menteri Datuk Jaujan Sambakong ketika ditemui pemberita berkata ucapan dasar Mohd Shafie cukup jelas bagi menjawab segala isu wujud membabitkan parti itu.

Beliau berkata tohmahan dilontarkan sesetengah pihak bahawa Warisan mengeluarkan dokumen pengenalan diri kepada PATI adalah perkara tidak benar sama sekali.

Dalam perkembangan lain, Jaujan selaku Naib Presiden Warisan berkata parti itu sentiasa terbuka menerima kemasukan mana-mana individu untuk menjadi anggota dengan syarat mereka mempunyai agenda ikhlas membantu menguatkan perjuangan Warisan dalam membela nasib rakyat seterusnya membangunkan Sabah.