Shafie Sumbang Kenderaan Untuk Kegunaan Hospital Semporna

Oleh PEMBERITA BORNEOTODAY
SEMPORNA: Mantan Ketua Menteri merangkap Ahli Parlimen Semporna, Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal mengambil inisiatif menyalurkan bantuan logistik untuk kegunaan Pejabat Kesihatan Daerah Semporna.

Beliau menyumbangkan kenderaan pacuan empat roda dan van yang diubah suai bagi membawa pesakit dijangkiti Covid-19 ke hospital.

Usaha itu dilakukan bagi membantu petugas hospital yang kini berdepan dengan masalah kekurangan ambulans bagi membawa pesakit-pesakit yang dijangkiti Covid-19 ke hospital dan pusat-pusat rawatan berhampiran.

Selain itu, Parti Warisan Sabah (Warisan) terus mempergiat usaha membantu mengagihkan bantuan bekalan makanan kepada semua penduduk Semporna yang terjejas. Agihan bantuan ini akan dijalankan secara berperingkat agar semua rakyat dapat menerima bekalan makanan.

Bantuan bekalan makanan itu tepat pada masanya susulan keputusan kerajaan melanjutkan tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) untuk dua minggu lagi sehingga 9 November ini.

Semalam, agihan bekalan makanan dilakukan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sulabayan.

Agihan bekalan itu diberikan kepada semua penduduk kampung yang terjejas sejak gelombang ketiga Covid-19 melanda Sabah pada hujung September.