Shafie Seru Pengurusan Komuniti Kampung Segera Mohon Geran RM10K

Jaujan bersalaman dengan pimpinan MPKK ketika mewakili Ketua Menteri menyampaikan amanat kepada pemimpin masyarakat itu.

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
KOTA KINABALU: Semua Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) diminta segera menyediakan profil kampung dan kertas kerja bagi memohon geran peruntukan sebanyak RM10,000 bagi melaksanakan aktiviti kampung.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, peruntukan berkenaan telah disediakan dan masih mempunyai baki kerana tidak banyak MPKK yang mengemukakan permohonan.

“Kita hanya mempunyai baki beberapa bulan sahaja untuk membelanjakan peruntukan tersebut yang kini telahbtersedia.

“Jadi segeralah untuk mengadakan mesyuarat dengan masyarakat kampung bagi menentukan program dan aktiviti yang hendak dilaksanakan,” katanya dalam ucapan sempena Program Bersama Pemimpin Di Kursus Induksi MPKK Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan pagi ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr. Jaujan Sambakong mewakili Ketua Menteri.

Mohd. Shafie berkata, beliau mahu kesemua 412 MPKK yang hadir dalam program itu mengemukakan permohonan berkenaan di pejabat daerah dengan segera.

Sementara itu dalam ucapannya, Ketua Menteri berharap setiap MPKK dapat ditadbir urus dengan profesional dan matang tanpa konflik serta merugikan masyarakat.

Menurut beliau, MPKK perlu terlibat dengan masyarakat kerana hanya dengan cara itu kehidupan di luar bandar lebih sejahtera.

“Apa-apa kemudahan yang disediakan oleh kerajaan adalah sebagai sokongan kepada masyarakat, sebaliknya yang menentukan maju dan mundurnya sesebuah kampung adalah terletak kepada komitmen MPKK serta penduduk kampung itu sendiri.

“Saya juga berharap agar semua MPKK berusaha meningkatkan pengetahuan dan kemahiran secara berterusan untuk memperkukuhkan keupayaan dan kompetensi sebagai pemimpin dan pentadbir di peringkat paling asas,” jelas beliau.