Shafie: Saya Berhak Beri Geran Tanah Kepada Rakyat

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
KUDAT: Kenapa mempersoalkan tugas jabatan negeri Sabah yang terus berkhidmat kepada rakyat jika Jabatan Persekutuan di Sabah sendiri masih boleh berfungsi walaupun Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah sudah dibubarkan?

Itu penegasan Ketua Menteri kepada pemimpin pro-Perikatan Nasional (PN) yang mempersoalkan peranan Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) meluluskan pemberian geran tanah kepada rakyat.

Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, sebagai pemerintah Sabah yang sah, beliau berhak untuk memberikan bantuan kepada rakyat lebih-lebih lagi membabitkan hak rakyat seperti geran tanah.

“Kalau Jabatan Persekutuan boleh berfungsi di Sabah takkan jabatan negeri Sabah di Sabah tidak boleh berjalan, masih belum ada writ dikeluarkan jika ada maka cerita lain, saya boleh bagi bantuan bukan pancing undi.

“Bila tiba masanya ada writ pengumuman dibuat bila tarikh pilihan raya, bila tarikh mengundi itu berbeza,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Terdahulu, beliau menyerahkan sebanyak 399 geran tanah kepada penduduk di 121 kampung seluruh Kudat.

Kesemua geran tanah berkenaan adalah hasil kelulusan permohonan tanah bersyarat geran Anak Negeri.

Mohd. Shafie berkata demikian ketika ditanya tentang dakwaan pemberian geran tanah kepada rakyat selepas pembubaran DUN Sabah adalah menyalahi etika pilihan raya.

Pemberian geran tanah itu bagaimanapun mendapat sambutan baik daripada rakyat Sabah, malah ada yang terharu ketika menerimanya kerana sebelum ini terpaksa menunggu sehingga puluhan tahun daripada kerajaan terdahulu.

Ketua Menteri berkata, pemberian geran tanah itu telah dilakukan sejak tahun lalu lagi iaitu kerana sudah menjadi dasar kerajaan pimpinannya yang berpaksikan hak rakyat.

“Apa pula salah dia saya sudah serahkan sejak setahun yang lalu pun, selagi writ pilihan raya belum dikeluarkan maka dibolehkan kita menjalankan tugas selaku caretaker government untuk menyerahkan takkan kita nak tunggu writ itu keluar

“Kita belum tahu siapa calon kita belum tahu siapa yang bertanding, saya pun tahu juga undang-undang saya ini penggubal dasar berpuluh tahun,” tegas beliau.