Shafie Saran Rakyat Gotong-Royong Bantu Bina Kemudahan Infrastruktur

Mohd Shafie berkomunikasi melalui telefon bersama Richard sebagai simbolik Pengoperasian Rangkaian Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), turut kelihatan Adun Sugut Datuk James Ratib.

Oleh SURAIDAH ROSLAN
BELURAN: Konsep membina kemudahan sekolah dan kampung secara bergotong-royong yang dilaksanakan penduduk Kampung (Kg) Matanggal, Paitan perlu diperluaskan ke daerah-daerah lain di Sabah.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal berkata, konsep atau templat yang ditunjukkan masyarakat kampung itu dalam membina asrama Sekolah Kebangsaan (SK) Matanggal secara bergotong-royong tanpa perlu pembabitan kontraktor adalah usaha yang perlu dicontohi oleh daerah-daerah lain.

Beliau berkata, templat ini boleh digunapakai dalam membangunkan daerah-daerah kecil agar masyarakat yang daif dapat dibantu.

Pemeriksaan gigi antara perkhidmatan yang dibawa ke Kg Matanggal, Paitan sempena program itu.

”Sikap dan amalan sebegini perlu diterapkan supaya rakyat tidak hanya menunggu bantuan kerajaan semata-mata sebaliknya, mereka boleh bekerjasama dengan syarikat swasta dalam menyediakan kemudahan melalui amalan bergotong-royong,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Asrama Pelajar, Bekalan Paip Graviti, Bekalan Elektrik Solar Hibrid, Pecah Tanah Klinik Kesihatan, Pengoperasian Rangkaian Suruhanjaya Komunikasi & Multimedia Malaysia dan Projek Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Mahkamah Bergerak, di Kg Matanggal, di sini pada Selasa.

Menurutnya, pembinaan Asrama SK Matanggal itu diusahakan atas inisiatif bekas Ketua Hakim Negara Tan Sri Richard Malanjum dengan kerjasama Syarikat Boustead Plantation Bhd.

Syarikat itu hanya menyediakan peruntukan bahan mentah dan penduduk di situ diminta untuk membina asrama berkenaan secara bergotong-royong. Asrama berkenaan siap April ini dan mula dibina pada Ogos 2017.

Seiring dengan itu, Mohd Shafie juga mahu agar syarikat swasta, Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan syarikat yang berdaftar dalam bursa saham supaya melaksanakan program CSR bagi membantu penduduk setempat.

Sementara itu, Richard berkata, rakyat tidak harus bergantung kepada peruntukan kerajaan semata-mata dalam menyediakan kemudahan infrastruktur di kawasan kampung masing-masing.

Mohd Shafie (tengah) bergambar bersama sukarelawan daripada pelbagai jabatan yang menyertai program berkenaan.

”Amalan yang dilakukan penduduk kampung dalam membina Asram SK Matanggal secara bergotong-royong ini perlu dijadikan contoh kampung-kampung lain.

”Di Sabah mempunyai banyak kampung yang tiada bekalan elektrik, bekalan air, asrama sekolah, klinik kesihatan dan telekomunikasi. Namun semuanya menunggu peruntukan kerajaan.

”Jadi saya berharap usaha yang dilakukan penduduk kampung ini dengan bantuan dana bahan mentah yang disumbangkan syarikat swasta, ia akan menjadi pendorong kepada masyarkat untuk melakukan usaha yang sama,” ujarnya.