KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah berharap pembukaan dua makmal bagi menguji sampel Covid-19 di Tawau dan Sandakan dapat dipercepatkan.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Mohd. Shafie Apdal berkata, kerajaan menyambut baik usaha itu kerana akan membantu mempercepatkan lagi ujian pengesanan Covid-19 di Pantai Timur Sabah.
Katanya, buat masa ini hanya tiga makmal di Kota Kinabalu yang menjalankan ujian pengesanan Covid-19 iaitu di Makmal Kesihatan Awam Kota Kinabalu (MKAKK), Bukit Padang; Makmal Hospital Queen Elizabeth dan Makmal Biokeselamatan tahap tiga (BSL3), Universiti Malaysia Sabah.
Beliau berkata, penghantaran sampel Covid-19 mengambil masa agak lama sehingga lapan jam untuk sampai ke makmal di Kota Kinabalu kerana dihantar melalui jalan darat.
“Selepas itu, kita juga mengambil masa untuk menunggu giliran bagi menjalankan ujian Covid-19 disebabkan tidak mempunyai reagen yang mencukupi.
“Atas sebab itu, kerajaan negeri mengambil langkah membeli reagen dari Singapura bagi mengatasi masalah kekurangan reagen bagi menguji sampel Covid-19,” katanya ketika mengulas mengenai pengumuman Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi membuka lima makmal baharu bagi menguji sampel Covid-19.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah semalam mengumumkan lima lagi makmal akan dibuka bagi mempercepatkan ujian sampel Covid-19.
Lima makmal itu adalah di Tawau dan Sandakan di Sabah; Miri dan Bintulu di Sarawak serta Kluang, Johor.
Dalam pada itu, Mohd Shafie berkata, kerajaan akan terus berusaha memastikan keperluan peralatan perlindungan diri (PPE) barisan hadapan terutama doktor dan jururawat mencukupi.