Shafie Percaya BERSATU Tidak Akan Lebarkan Sayap Ke Sabah

1346

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal berharap Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) mengotakan janji untuk tidak melebarkan sayap ke Sabah seperti yang dipersetujui sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.

Beliau, yang juga Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) berkata, perkara itu sudah dinyatakan semasa pertemuan terdahulu dengan Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad sebelum PRU.

”Jika sebelum pilihan raya mereka mendengar permintaan saya maka, selepas pilihan raya saya harap mereka akan dengarlah,” katanya ketika ditanya sekiranya beliau ada bertemu dengan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini tentang rancangan BERSATU melebarkan sayap ke Sabah.

Mohd Shafie berkata, sebelum PRU Warisan sudah menyatakan pendirian mengenai perkara itu dan apa yang Warisan mahu adalah beri ruang kepada parti ini menstabilkan negeri Sabah.

Katanya, beliau pasti ia akan mengambil masa untuk bekas pemimpin Umno bagi memutuskan ke mana hala tuju mereka tetapi, apa yang penting adalah biarkan Sabah mengendalikan perkara itu.

”Kita mengenali ahli politik di Sabah ini dengan baik berbanding mereka (pemimpin politik Semenanjung Malaysia).

”Namun, apa yang penting adalah kita bekerjasama dengan baik dalam memastikan perubahan yang perlu dilakukan dapat dijayakan. Kerajaan Negeri juga bekerjasama baik dengan Pakatan Harapan yang ada di Sabah.

”Apa yang Tun Mahathir buat selama ini kita sentiasa sokong tanpa mempersoalkannya. Apa yang penting kita dapat menyatukan rakyat,”katanya ketika ditemui selepas Majlis Rumah Terbuka Krismas Warisan, di sini pada Ahad.

Terdahulu dalam ucapannya, Mohd Shafie mengingatkan pemimpin-pemimpin parti supaya tidak berebut jawatan dan pangkat dalam pemilihan parti yang akan diadakan pada tahun ini.

Katanya, beliau tidak mahu pemimpin bercakaran sepanjang masa untuk politik hingga merosakkan negeri ini.

Menurutnya, usaha menyatukan ahli-ahli parti bukan suatu kerja yang mudah kerana latar belakang politik terdahulu.

”Kita ada pemimpin Warisan lama dan baru. Saya tahu bukan senang mahu menyatukan yang baru dan lama tetapi yang penting tujuan dan matlamat kita mahu membangunkan Sabah.

”Kita kena ingat dulu kita juga dalam Umno, dalam Usno, BERJAYA dan PBS. Kalau kita mahu ingat yang dahulu masa depan anak-anak kecil tidak akan terjamin.

”Kita sedar dan tahu bila kita jumpa yang baharu, yang lama tidak haus dilupakan. Bila kita jumpa yang lama jangan pula tinggalkan mereka yang baharu. Atas sebab itu kita perlu ada permuafakatan dalam sesebuah parti,” katanya.

Khabar angin mengenai kemasukan BERSATU ke Sabah timbul apabila 14 wakil rakyat Umno yang keluar daripada parti itu secara beramai-ramai pada 12 Disember tahun lalu dikatakan akan menyertai BERSATU.

Beberapa keping gambar yang tular mengukuhkan lagi khabar angin itu. Gambar yang tular itu memperlihatkan bekas Pengerusi Perhubungan Umno Sabah Datuk Hajiji Noor dilihat mengagihkan borang keahlian parti kepada bekas pemimpin Umno tular dalam laman media sosial.

Bagaimanapun Adun Karanaan Datuk Masidi Manjun menafikan perkara itu dengan menyatakan mereka masih ahli politik bebas dan apa yang tular itu hanya sekadar gambar sahaja.