Pengusaha Sawit Perlu Beralih Tanam Kayu Keras, Buah-Buahan Untuk Jana Hasil

TAWAU: Harga sawit yang jatuh merudum perlu dijadikan iktibar kepada pengusaha-pengusaha sektor itu untuk berhijrah kepada tanaman lain yang boleh membawa keuntungan berlipat ganda.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, penanaman kayu keras adalah pilihan terbaik ketika ini kerana harganya yang mahal dan tidak memakan masa yang terlalu lama sebelum boleh ditebang.

“Saya sudah maklumkan kepada pemain-pemain industri di Sabah supaya tiada lagi ladang-ladang sawit, saya rasa kita sudah berada di tahap… bukan mahu kata maksimum tetapi saya tidak menggalakkan mereka menanamnya.

“Kalau ada kita tanam produk lain seperti buah-buahan atau pokok keras yang kita tidak perlu tunggu 30 tahun ada spesis kayu keras yang saya tahu saintis jumpa dengan saya dia maklumkan dalam tempoh 10 ke 15 tahun boleh ditebang,” katanya dalam sidang akhbar ketika melawat ladang Sawit Kinabalu di sini semalam.

Turut hadir isteri beliau, Datin Seri Shuryani Shuaib; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sawit Kinabalu, Masri Putin serta ahli lembaga pengarah dan pegawai kanan agensi kerajaan negeri itu.

Mohd. Shafie yang juga Pengerusi Sawit Kinabalu berkata, penanaman kayu keras akan turut menyumbang kepada industri hiliran seperti penghasilan perabot dan kayu panel serta membantu mencapai sasaran penanaman semula hutan di Sabah menjelang 2035.

Dalam lawatan tersebut Ketua Menteri menerima penerangan tentang penggunaan teknologi mesin dan peralatan oleh Sawit Kinabalu serta turut melihat sendiri operasi kilang memproses makanan ternakan yang ada.

Mengulas tentang Sawit Kinabalu, beliau berkata, agensi itu perlu meningkatkan program penyelidikan dan pembangunannya (R&D) bagi mengurangkan kos pengeluaran.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan pengurusan Sawit Kinabalu supaya memanfaatkan kesuburan tanah yang dimiliki untuk menceburi bidang penanaman buah-buahan agar mereka masih mampu berdaya saing dan berterusan menjana keuntungan.

“Tawau di antara kawasan yang tanah dia subur dan di sini kalau tanam buah-buahan pun manis, tadi saya makan nangka berwarna keemasan dan mempunyai tekstur yang baik.

“Rambutan dia sangat manis dan di sini kita dapati bahawa ada potensi tanah-tanah yang ada kalau luas bukan hanya ternak lembu tetapi kita tanam buah-buahan yang membolehkan hasil kepada kita.

“Saya galakkan supaya R&D ditingkatkan supaya ada keupayaan ladang-ladang yang ada di Sabah, khususnya negara kita untuk membolehkan kita tingkatkan hasil dan kurangkan kos pengeluaran,” katanya.