Shafie Mulakan Lawatan Kerja Ke Jepun

213

KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Mohd. Shafie bin Haji Apdal akan mengadakan lawatan kerja selama tujuh hari ke Jepun bermula esok dalam misi menarik pelaburan ke Sabah.

Ini merupakan lawatan sulung beliau ke Jepun sejak mentadbir Sabah Mei tahun lalu. Sebelum ini, Datuk Seri Mohd. Shafie telah mengadakan misi mencari pelabur di China dan Kalimantan Timur, Indonesia.

Antara yang menarik dalam lawatan kerja tersebut adalah pertemuan beliau dengan syarikat gergasi negara matahari terbit itu yang mempunyai perancangan untuk melabur sebanyak RM230 juta di Sabah.

Datuk Seri Mohd. Shafie dijadual mengadakan mesyuarat dan makan malam esok bersama Towa Corporation, sebuah syarikat pengeluar mesin industri berpangkalan di Kobe yang berpotensi untuk melabur sebanyak RM110 juta di Sabah.

Selain itu, Ketua Menteri dijadual bermesyuarat dengan syarikat perkapalan Tokyo, Tsuneishi Shipbuilding Co. Ltd yang berhasrat melabur sebanyak RM120 juta di negeri ini.

Sepanjang lawatan kerja itu, beliau diiringi Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Perdagangan dan Perindustrian, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Safar Untong. Turut hadir, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Darell Leiking.

Turut menyertai lawatan kerja berkenaan ialah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Agensi Pembangunan Pelaburan Malaysia, (MIDA), Datuk Azman Mahmud; CEO Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Datuk Wan Latiff Wan Musa; CEO Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii), Datuk Madani Sahari, pegawai-pegawai daripada agensi kerajaan negeri dan agensi Kerajaan Pusat di bawah MITi.

Ketua Menteri dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kansai pagi esok menaiki pesawat khas dan akan terus mengadakan pertemuan bersama F Bit Communications, syarikat peneraju sektor teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) di Jepun yang merancang untuk melabur di POIC.

Beliau turut dijadual memberi ucaptama dalam empat seminar berasingan di Osaka, Tokyo, Yokohama dan Nagoya yang memberi fokus kepada potensi Sabah sebagai peneraju ekonomi ASEAN dan peluang-peluang pelaburan yang ada.

Empat syarikat milik kerajaan (GLC) Sabah iaitu Syarikat Pembangunan Minyak dan Gas Sabah (SOGDC), POIC Sdn. Bhd., Sandakan Furniture Park dan Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) turut berpeluang memberi penerangan kepada pelabur-pelabur Jepun tentang peluang pelaburan di Sabah serta mengadakan sesi soal jawab dengan mereka.

Sementara itu, antara syarikat dari negara itu yang dijangka mengadakan perbincangan pelaburan dengan Ketua Menteri ialah IHI Corporation, Daiwa House, Akashi Kikai Co. Ltd., Towa Corporation, Wada Aircraft Technology, Menicon Co. Ltd., Euglena Co. Ltd., Mitsubishi dan Green Earth.