Shafie Minta Tidak Lengah Terlalu Lama Tuntutan 40 Peratus Hasil

Vincent Pung menyerahkan cek replika pembayaran dividen Perbadanan Pinjaman Sabah kepada Hassanel, dua kanan, sambil disaksikan oleh Ketua Menteri. – Gambar-gambar JKM Oleh Patrick Mosinoh

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal berharap Kerajaan Persekutuan tidak melengahkan tuntutan hasil 40 peratus seperti termaktub dalam dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dalam tempoh terlalu lama.

Beliau berkata, menyedari kekangan kewangan yang dihadapi sekarang beliau faham seandainya tuntutan itu tidak dapat ditunaikan sepenuhnya dengan kadar segera.

“Bagaimanapun jika tuntutan itu tidak dapat ditunaikan secara keseluruhan tetapi, sekurang-kurangnya sedikit sebanyak ia dapat ditunaikan. Itu memang dalam perjanjian dan pembayaran itu boleh dibuat secara berperingkat.

“Kita juga memahami keadaan (kewangan) yang tidak sihat ini, jika kita terus memberi tekanan (kepada Kerajaan Persekutuan), ia akan mendatangkan masalah,” katanya ketika ditemui semasa Majlis Penyerahan Dividen dan Zakat oleh Perbadanan Pinjaman Sabah (Sabah Credit Corporation) kepada Ketua Menteri, di Pusat Pentadbiran Kerajaan Sabah (PPKS), di sini pada Jumaat.

Shafie menjawab soalan daripada media.

Beliau berkata demikian ketika ditanya tentang kenyataan Menteri Kewangan Lim Guang Eng yang mengatakan tuntutan Sabah terhadap 40 peratus hasil hanya akan dapat dilaksana selepas kedudukan kewangan negara kembali kukuh.

Pada 25 November lalu, Lim menyatakan, kedudukan kewangan negara perlu diperkukuhkan lebih dahulu sebelum merealisasikan tuntuan itu bagi mengelakkan negara akan bankrap.

Shafie berkata, Kerajaan Negeri menyedari kekangan kewangan negara pada ketika ini yang perlu membayar hutang yang banyak. Namun, Kerajaan Negeri juga mempunyai bebanan hutang yang perlu dibayar.

“Atas sebab itu kita menggunakan pendekatan berhemah dalam pengurusan kewangan. Dalam sesebuah negara kita bersifat kekeluargaan malah, dalam membentuk Malaysia pun kita lakukan perundingan. Jadi perkara (tuntutan) ini juga perlukan rundingan,” jelasnya.

Vincent menyampaikan Zakat Perniagaan kepada Hasbullah, dua kanan, sambil disaksikan oleh Shafie Apdal dan ahli Lembaga serta pegawai kanan Sabah Credit.

Mengenai dakwaan bahawa Sabah masih ketinggalan jauh dibelakang berikutan kerajaan terdahulu (Barisan Nasional) tidak menunaikan tuntutan itu, Shafie berkata, tiada guna untuk mereka (pembangkang) bising sekarang kerana ketika mereka memerintah mereka tidak melakukan apa-apa.

“Bagi kerajaan sekarang, kita akan cuba melakukan yang terbaik untuk memastikan perkara (tuntutan hasil) ini dapat ditunaikan walaupun ia bukan suatu yang mudah. Kita perlu kendalikan ini dengan baik tanpa memberi tekanan kepada Kerajaan Persekutuan walaupun kita dalam keadaan terdesak memerlukan kewangan,” ujarnya.

Ditanya adakah Sabah akan bertindak seperti Sarawak yang menetapkan beberapa perkara dalam MA63 tidak boleh dirunding, Shafie berkata, perkara itu lebih baik dibincangkan dengan Kerajaan Pusat.

“Saya ingat lebih elok kita berbincang. Sudah ada tarikh ditetapkan untuk mengadakan mesyuarat dan adalah lebih baik membincangkan semua perkara ini secara dalaman. Tidak elok jika kita membincangkan perkara ini diluar. Saya rasa ini adalah langkah terbaik yang kita boleh lakukan,” jelasnya.

Dalam majlis itu, Perbadanan Pinjaman Sabah yang diwakili Pengerusinya Datuk John Koo menyerahkan dividen berjumlah RM7 juta serta pembayaran faedah pinjaman berjumlah RM 844,437.10 kepada Setiausaha Kementerian Kewangan Datuk Pg Hassanel Mohd Tahir.

Perbadanan itu turut membayar zakat perniagaan kepada wakil Pusat Zakat Sabah iaitu Pengerusi Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) Datuk Seri Panglima Dr Hasbullah Mohd Taha berjumlah RM 100,041.77.