Shafie Menyelar Filipina, Mahu Wisma Putra Bertegas Terhadap Provokasi Manila

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
KOTA KINABALU: Ketua Menteri menyelar tindakan Filipina yang terus membuat provikasi menuntut Sabah termasuk memasukkan negeri ini di dalam pasport negara itu.

Dalam satu kenyataan, beliau meminta Wisma Putra memberi amaran kepada negara itu tentang kedaulatan Sabah sebagai salah satu negeri di Malaysia yang diiktiraf oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Berikut kenyataan penuh beliau:

Kerajaan Sabah meminta Wisma Putra memanggil Duta Filipina di Kuala Lumpur untuk memberikan amaran keras kepada Kerajaan Filipina berhubung pelanggaran terhadap Kedaulatan Sabah.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie bin Haji Apdal berkata, Sabahan telah dijanjikan keselamatan dan perlindungan semasa penubuhan Persekutuan Malaysia pada tahun 1963, oleh sebab itu Kementerian Luar perlu mengambil tindakan tegas terhadap perkara yang disifatkan sebagai pelanggaran terhadap Kedaulatan Sabah serta provokasi yang tidak sepatutnya.

“Sabah adalah negeri yang berdaulat dan perkara ini telah diselesaikan sejak sekian lama,” katanya dalam kenyataan pada Isnin berikutan laporan tentang keputusan Jawatankuasa Hal Ehwal Luar Negara Filipina membenarkan cetakan peta Filipina meliputi kawasan 320 kilometer Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ) dan Sabah di dalam pasport negara itu.

Shafie berkata, Wisma Putra tidak boleh berlembut selepas pihak berkuasa Filipina mengeluarkan pelbagai kenyataan tidak masuk akal akhir-akhir ini.

Sabah adalah negeri merdeka di dalam Persekutuan Malaysia melalui Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang telah diterangkan dan diterima oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Berikutan itu, walau apa cara sekalipun, Filipina tidak mempunyai asas, sejarah atau lunas perundangan untuk membuat tuntutan ke atas Sabah.

Amat dikesali apabila Filipina telah bertindak bertentangan dengan semangat ASEAN dan prinsip asas saling menghormati kedaulatan, kesaksamaan, integriti wilayah masing-masing dan identiti negara bagi setiap anggota ASEAN.