Shafie Menang Tanpa Bertanding Jawatan Presiden Warisan

KOTA KINABALU: Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal menang tanpa bertanding sekali gus mengekalkan jawatan Presiden Parti Warisan (Warisan) sempena Mesyuarat Agung Tahunan.

Setiausaha Agung Warisan, Datuk Loretto S. Padua berkata, pencalonan yang ditutup pada 7 Ogos lalu tidak memperlihatkan ada pihak yang ingin bertanding jawatan tertinggi dalam parti itu.

Malah, dua jawatan tertinggi lain iaitu timbalan presiden dan naib-naib presiden juga tidak dipertandingkan.

Selain Mohd. Shafie, Datuk Darell Leiking juga dikekalkan sebagai Timbalan Presiden manakala, Naib-naib Presiden ialah Datuk Jaujan Sambakong, Datuk Junz Wong dan Terrence Siambun.

Terrence mengisi kuota Kadazan, Dusun dan Murut (KDM) yang sebelum ini disandang oleh Datuk Peter Anthony yang telah keluar daripada Warisan.

Beliau berkata, Isnaraissah Munirah Majilis turut kekal sebagai Ketua Wirawati kerana menang tanpa bertanding.

Walau bagaimanapun, jawatan Ketua Wira akan memperlihatkan persaingan tiga calon iaitu Mohd Ismail Ayub serta dua calon lain.

Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Mohd. Azis Jamman tidak berhasrat mengekalkan jawatan berkenaan.

Loretto berkata, jawatan-jawatan lain akan dipertandingkan dan ia termasuk jawatan Ahli Majlis Tertinggi (AMT) yang memperlihatkan 50 calon bertanding bagi mengisi 20 jawatan AMT.

Bagi jawatan yang dilantik pula, ia termasuk setiausaha agung, bendahari agung, ketua penerangan, dua naib Presiden lantikan serta 11 AMT lantikan.

Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Warisan akan diadakan pada 26 dan 27 Ogos ini di Dewan Hongkod Koisaan KDCA.