Shafie: Masih Banyak Tuntutan Tanah Rakyat Akan Ditunaikan

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
LAHAD DATU: Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal mengakui masih ramai rakyat Sabah terutama yang berada di kawasan pedalaman menuntut agar tanah yang sudah diusahakan sejak sekian lama dikembalikan untuk menjadi hak milik mereka.

Ketua Menteri berkata, beliau akan memastikan agar tuntutan-tuntutan berkenaan dapat ditunaikan kerana jika tidak sampai bila-bila pun rakyat Sabah tidak akan memiliki tanah, sedangkan negeri ini mempunyai keluasan yang cukup untuk manfaat rakyatnya.

Katanya, kesilapan utama kerajaan terdahulu adalah mengutamakan pemberian tanah kepada syarikat swasta dan agensi kerajaan semata-mata walaupun tanah yang diserahkan itu sebenarnya telah dibangunkan penduduk kampung terlebih dahulu.

“Saya menjelajah ke beberapa tempat di Ranau, di Tongod, di Beluran banyak lagi masyarakat yang tinggal di tapak-tapak tanah yang sudah menelan masa yang begitu lama ada di antara mereka berada di tempat itu sudah pun 60 tahun 50 tahun tapi lepas itu kerajaan terdahulu wartakan hutan simpan,” katanya ketika berucap di Tungku hari ini.

Terdahulu, beliau menyerahkan sebanyak 185 geran tanah berkeluasan 120 hektar kepada masyarakat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang telah dipohon kepada Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) sejak berpuluh tahun lalu.

Turut diserahkan ialah sebanyak 800 lot geran tanah kepada peneroka Felda Sahabat.

Pagi ini, Mohd. Shafie turut berkesempatan menyerahkan sebanyak 203 geran tanah berkeluasan 548 hektar kepada rakyat Lahad Datu dan 56 geran membabitkan keluasan 147 hektar  kepada pemohon di daerah Kunak.

Yang turut hadir, isteri Ketua Menteri, Datin Seri Shuryani Shuaib; Ahli Parlimen Silam, Mohamadin Ketapi; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lahad Datu, Dumi Pg. Masdal; ADUN Kunak, Norazlinah Arif dan Pengarah JTU, Bernard Liew.

Sementara itu, Mohd. Shafie berkata, permohonan tanah rakyat yang belum diluluskan akan diuruskan dengan baik oleh JTU bagi memastikan mereka yang berhak dapat menerimanya.

“Kita buat perubahan dasar dalam pemerintahan kita pastikan mana rakyat yang berhak untuk dapat tanah akan kita berikan, bukan hak kerajaan kita perlu tegakkan untuk menidakkan rakyat kita mendapat hak mereka.

“Kerajaan boleh mengurus tanah, kita banyak tanah kerajaan mempunyai keluasan tanah yang begitu besar, negeri yang begini besar yang saya yakin bukan hanya tanahnya luas di Malaysia bahkan juga yang tersubur apa yang penting manfaatkan tanah ini untuk generasi akan datang,” tegasnya.