Shafie Mahu Sabah Segera Fokus Pulihkan Sektor Pelancongan

KOTA KINABALU: Parti Warisan Sabah (Warisan) mahu kerajaan negeri segera memberi fokus kepada usaha memulihkan industri pelancongan berikutan kebenaran aktiviti rentas negeri yang akan bermula pada November ini.

Presiden Warisan, Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal berkata, sebagai penyumbang hasil ketiga terbesar Sabah, sektor pelancongan perlu segera dipulihkan.

Banyak hotel, homestay atau inap desa, destinasi menarik dan perniagaan berkaitan pelancongan terpaksa tutup operasi di seluruh negara berikutan pandemik Covid-19.

“Sudah lebih 18 bulan sejak kita dilanda wabak Covid-19 dan banyak perniagaan tidak beroperasi sepenuhnya dan ada juga yang terpaksa menutup operasi.

“Ramai rakyat yang kehilangan pekerjaan, banyak hotel dan homestay ditutup dan bas-bas pelancong juga tersadai tanpa digunakan.

“Oleh itu, kerajaan negeri perlu membantu sektor pelancongan ini untuk kembali pulih dengan kadar segera agar semua sektor ekonomi berkaitan pelancongan kembali mendapat manfaat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Shafie berkata, ketika ini penerbangan ke Sabah juga perlu dipertingkatkan dengan kadar tambang yang munasabah bagi membolehkan lebih ramai pelancong berkunjung ke Sabah.

Ahli Parlimen Semporna ini berkata, Sabah mempunyai banyak destinasi pelancongan menarik untuk pengunjung dan beliau percaya ramai pelancong dari Semenanjung Malaysia ingin datang ke Sabah.

Selepas pelbagai siri Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), orang ramai ingin melakukan aktiviti luar dan melancong sekali lagi.

Maka, selagi sempadan negara belum dibuka, ia akan memberi manfaat kepada sektor pelancongan tempatan menerima pelancong domestik.

Pada 2019, Sabah mencatatkan ketibaan pelancong domestik seramai 2.7 juta orang namun, selepas negara dilanda pandemik, ketibaan pelancong domestik di Sabah antara Januari hingga September tahun lalu hanya sekitar 700,000 orang.