Shafie Mahu Peruntukan Lebih Besar Atasi Banjir Di Sabah

PENAMPANG: Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal menggesa kerajaan persekutuan meningkatkan peruntukan bagi mengatasi masalah banjir yang berlaku di Sabah.

Beliau berkata, berdasarkan lawatan di daerah ini, beliau melihat peruntukan sedia ada perlu dipertingkatkan. Begitu juga bagi mengatasi masalah di kawasan pedalaman Sabah yang jauh lebih memerlukan.

Oleh itu, Ahli Parlimen Semporna ini mahu peruntukan yang ada diselaraskan dengan maklumat diperoleh daripada pimpinan sama ada Pegawai Daerah mahupun jurutera daerah tentang masalah berkaitan jalan raya, bekalan air dan elektrik.

Jika dilihat Kampung Sugud ini sudah berapa hari terputus bekalan air dan elektrik, keadaan ini membimbangkan sekiranya ia tidak diatasi dengan segera.

Atas sebab itu, peruntukan tambahan amat diperlukan untuk membolehkan masalah banjir di Sabah khususnya di Penampang dapat diatasi.

Mengenai Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), beliau menggesa kerajaan persekutuan segera menyelesaikan empat lagi perkara yang belum diselesaikan dalam MA63.

“Semasa pemerintahan Pakatan Harapan (PH), 17 tuntutan sudah diselesaikan dan tunggu untuk pelaksanaan sahaja. Maka, ia seharusnya sudah dilaksanakan dan tidak perlu lagi menunggu kelulusan Parlimen kerana perkara-perkara ini sudah lulus. Hanya tinggal empat perkara lagi yang masih tertunggak,” katanya selepas melawat kawasan terjejas banjir di Kampung Sugud, di sini hari ini.

Mengenai status rakan sekutu pula, Rang Undang-undang pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan sudah dibawa di Parlimen semasa pemerintahan PH. Maklumat ini berada di Jabatan Perdana Menteri dan Pejabat Peguam Besar Negara dan ia sudah diperhalusi pada waktu itu tapi pindaan itu tidak diluluskan kerana Sarawak tidak bersetuju.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senallang ini berkata, pindaan untuk mendapatkan status rakan sekutu itu tidak terlaksana kerana tidak mendapat sokongan majoriti ahli Parlimen pada masa itu.