Shafie Mahu Perpaduan Rakyat Di Sabah Terus Dipertingkat

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal mahu perpaduan rakyat di Sabah terus dipertingkatkan demi kemakmuran masyarakat berbilang kaum di negeri ini.

Ketua Menteri berkata, perpaduan yang ada bukan hanya perlu dipertingkatkan dalam kalangan orang dewasa tetapi juga dalam kalangan anak-anak muda.

Namun, dalam memupuk penyatuan dan perpaduan, beliau mahu keseimbangan pembangunan yang ada dipertingkatkan.

Katanya, ia penting bagi memastikan penyatuan rakyat boleh dilakukan biarpun wujud perbezaan kaum dan agama.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Majlis Sambutan Hari Malaysia peringkat negeri Sabah, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), hari ini.

Mengenai tarikh 16 September, Mohd Shafie berkata, tarikh ini sangat penting bagi mengimbau sejarah pembentukan Malaysia yang menggabungkan wilayah Sabah dan Sarawak dengan Tanah Melayu.

“Tarikh ini cukup besar pengertiannya bagi rakyat Malaysia yang berada di Sabah dan Sarawak kerana kita tahu disitulah pengorbanan yang dicurahkan pejuang terdahulu bagi membebaskan Sabah dari belenggu penjajah.

“Ini merupakan perayaan yang bermakna kepada rakyat Malaysia di Sabah jadi saya harap, kita dapat memupuk perpaduan yang kental dalam kalangan masyarakat tanpa mengira kaum dan agama mahupun batasan daerah.

“Apa yang penting adalah kita bina sebuah negara yang makmur dan mempunyai perpaduan yang kental untuk membolehkan kita dapat membangunkan negara ini,” ujarnya.

Majlis itu dihadiri oleh Yang diPertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin dan isteri Toh Puan Norlidah R.M Jasni.

Majlis itu turut dihadiri barisan ahli jemaah Kabinet Kerajaan Sementara serta Timbalan-timbalan Ketua Menteri Sementara Datuk Jaujan Sambakong, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau dan Datuk Christina Liew.

Turut hadir adalah Pengerusi Sambutan Hari Malaysia, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Safar Untong dan Setiausaha Persekutuan Sabah Datuk Samsuni Mohd Nor.