Shafie Mahu Pembahagian 13 Kerusi Baharu Dibincang Bila Tiba Masa

Gambar internet.

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal mahu isu pembahagian 13 kerusi baharu Dewan Undangan Negeri Sabah (DUN) tidak dibincangkan buat masa ini bagi membolehkan kerajaan memberi fokus kepada usaha mentadbir dan membangunkan Sabah.

Beliau, yang juga Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) ini berkata, perkara berkaitan pembahagian kerusi itu hanya akan dibincangkan apabila tiba masanya, iaitu semasa pilihan raya umum akan datang.

Jika ada mana-mana kawasan perlu tambahan kerusi DUN lagi seperti yang diminta Ahli Parlimen Penampang, perkara itu akan diambil perhatian kerana kajian perlu dilakukan.

“Kita akan lihat perkara itu kerana pindaan dalam perundangan yang ada mengambil masa lapan tahun. Jadi kita tidak boleh tunggu kerana 13 kerusi DUN itu telah dilakukan kajian oleh kerajaan dahulu.

“Maka, jika perlu mengkaji semula 13 kerusi itu dengan menambah lagi kerusi lain, ia memerlukan pindaan dalam undang-undang dan itu bermakna kita kena tunggu lagi lapan tahun. Kita kena minta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membuat kajian dan ianya mengambil masa.

“Sekiranya perlu menunggu, dalam tempoh empat tahun ini kita sudah bubarkan DUN. Atas sebab itu, kita meneruskan apa yang telah diluluskan di peringkat DUN Sabah,” katanya ketika ditanya tentang pembahagian 13 kerusi baharu dan keperluan penambahan kerusi DUN di Sabah.

Mohd Shafie berkata, jika ada keperluan penambahan kerusi lagi pada masa akan datang seperti di Penampang dan kawasan pedalaman Sabah serta kawasan yang penduduknya ramai, kerajaan akan memberi perhatian kepada perkara itu.

Dalam mendapatkan kelulusan 13 kerusi baharu DUN Sabah baru-baru ini, keluasan dan kepadatan penduduk diambil kira agar perkhidmatan dapat diberikan kepada semua rakyat dengan lebih berkesan.

Menurutnya, beliau tahu kawasan Penampang adalah kawasan yang luas dan perlu penambahan kerusi. Semporna juga banyak kepulauan tapi kawasannya itu tidak mendapat tambahan kerusi.

“Namun, jika perlu tambah kerusi di kawasan saya itu bermakna kita kena meminda undang-undang yang ada.

“Apa yang penting sekarang kita selesaikan dahulu (13 kerusi baharu) ini dan kita susun atur. Untuk tentukan siapa dapat dan siapa bertanding, itu kena tunggu semasa pilihan raya umum akan datang,” jelasnya.

Pada 17 Julai lalu, Dewan Rakyat meluluskan usul menambah 13 kerusi baharu bagi DUN Sabah.

Usul berkenaan diluluskan setelah mendapat sokongan 158 yang hadir dalam perbahasan yang melibatkan Ahli Parlimen daripada kerajaan dan pembangkang.

Dengan penambahan itu, kawasan DUN Sabah akan bertambah dari 60 kawasan kepada 73 kawasan DUN.