KOTA KINABALU: Setia kepada parti dan tidak akan melompat seperti ‘katak politik’.
Itu antara kriteria utama yang menjadi pertimbangan Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal dalam meletakkan calon mewakili Parti Warisan Sabah, Pakatan Harapan (PH) Sabah dan UPKO untuk berdepan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
Presiden Warisan itu berkata, kesetiaan kepada parti penting kerana jika tidak, tiada gunanya meletakkan calon yang mempunyai kredibiliti sekalipun jika akhirnya mereka melompat parti dan berpaling tadah.
“Kalau itu kriteria dia kita boleh letak pemegang ijazah kita boleh letak pakar kita boleh letak doktor tetapi esok melompat tiada gunanya, bagi kita keutamaan mereka mesti mempunyai kesetiaan terhadap perjuangan yang ada,” katanya.
Mohd. Shafie berkata demikian dalam sidang akhbar selepas bermesyuarat bersama pimpinan PH Sabah dan UPKO di sini hari ini.
Beliau berkata, perbincangan antara Warisan – PH- UPKO dalam pembahagian kerusi telah dilakukan dan akan diselesaikan dalam tempoh seminggu, namun menegaskan rundingan yang dilakukan adalah atas semangat setiakawan dan keupayaan untuk menang.
“Yang penting saya peringatkan ialah kemenangan kalau kita dapat kerusi kita ada calon kerusinya kita dapat, calonnya tidak kena itu juga jadi masalah, kalau kedua-duanya kerusi kita dapat kawasan itu bersesuaian dan juga calon itu bersesuaian maka ianya penting bagi kita untuk menjamin kemenangan,” katanya.
Tambahnya, DUN terpaksa dibubarkan demi mengelakkan ketidakstabilan pentadbiran negeri disebabkan pelbagai tekanan daripada Kerajaan Persekutuan.
“Tuan yang terutama yang mempunyai kuasa mutlak untuk membubarkan dewan ini saya selaku ketua menteri tidak ada kuasa dalam perundangan saya boleh bagi nasihat, nasihat boleh diambil, nasihat boleh ditolak tetapi kuasa mutlak dari segi enakmen termaktub kepada TUN.
“Kita telah melalui proses-proses yang lengkap sama ada kita pun dan ditandatangani oleh tuan yang terutama selepas itu sudah pun digazet selepas itu dipermaklumkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya,”