Shafie Mahu Bot Disediakan 24 Jam Di Kawasan Berisiko Banjir

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Agensi penyelamat di negeri ini diingatkan agar menyediakan bot sepanjang tempoh 24 jam di kawasan-kawasan berisiko banjir setiap kali hujan turun secara berterusan.

Usaha ini diambil bagi memastikan penduduk yang terkandas akibat banjir dapat dipindahkan segera demi memastikan keselamatan nyawa mereka terjamin.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal berkata, itu antara langkah persediaan yang perlu diambil oleh agensi seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

Katanya, dalam kejadian banjir yang berlaku hujung minggu lalu, sebanyak 152 kampung terjejas banjir di 11 buah daerah seluruh Sabah.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyampaian Bantuan Peralatan Perubatan Covid-19 daripada syarikat-syarikat swasta, di sini hari ini.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah pada Isnin memaklumkan kejadian banjir yang berlaku itu menyebabkan 1,210 orang mangsa daripada 375 keluarga dipindahkan ke 15 pusat pemindahan di daerah Kota Belud, Penampang, Beaufort, Papar dan Tenom.

Turut terjejas banjir adalah daerah Kota Marudu, Keningau, Pitas, Membakut, Putatan dan Tuaran.

Mengenai bantuan peralatan perubatan itu, Mohd Shafie melihat bantuan yang diberikan itu sebagai tanda sokongan kepada kerajaan Sabah dalam membendung penularan wabak Covid-19.

Bantuan yang diterima itu akan diagihkan kepada petugas barisan hadapan di seluruh hospital negeri Sabah.

Syarikat-syarikat yang menyumbang bantuan peralatan perubatan itu adalah Kumpulan KTS, Ezytap Sdn Bhd, Kumpulan Want Want dan Azeeanie Enterprise.

Peralatan yang diberikan termasuk kit ujian Covid-19, pensanitasi tangan, gaun perubatan, asid hidroklorik, ‘water god generator’ dan beras.