Shafie Lulus RM1 Juta Untuk Pengurusan Sampah Bandaraya KK

133

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah meluluskan peruntukan RM1juta bagi memastikan pengurusan sampah di pusat bandaraya ini dikendalikan dengan lebih baik dan efektif.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal berkata, peruntukan yang akan diberikan pada tahun hadapan itu dilihat akan membantu meringankan bebanan kewangan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) yang perlu mengutip kira-kira 800 tan sampah setiap hari.

Beliau berkata, jika dilihat peruntukan yang diterima DBKK bagi pengurusan sampah tahun lalu hanya RM150,000. Namun, dewan bandaraya itu masih mampu membersihkan sampah setiap hari.

Katanya, peruntukan itu boleh digunakan oleh DBKK bagi menambahbaik perkhidmatan dengan menyediakan lebih banyak tong sampah sekitar pusat bandaraya.

Mohd Shafie, yang juga Menteri Kewangan Sabah berkata, peruntukan kewangan itu dapat membantu DBKK dalam memastikan persekitaran bandaraya ini sentiasa kelihatan bersih dan indah supaya ianya berupaya menarik kemasukan pengunjung dari dalam dan luar negara.

Disamping itu, beliau juga mengingatkan DBKK supaya menyediakan pelan pembangunan yang lebih teratur bagi menarik pelabur asing untuk menjalankan perniagaan di bandaraya ini.

Menurutnya, dalam membangunkan bandaraya ini, bukan hanya bangunan pencakar langit yang dimahukan sebaliknya, masyarakat setempat juga perlu menanam nilai-nilai murni dan amalan yang baik dengan menjaga kebersihan dan keindahan bandaraya ini.

Katanya, keindahan bandaraya yang mempunyai pulau yang cantik ini akan lebih menyerlah sekiranya sumber yang ada diurus dengan baik.

”Pengurusan DBKK perlu merancang pembangunan yang lebih teratur agar keindahan dan kecantikan bandaraya ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya.

”Masih belum terlambat untuk menyusun atur bandaraya ini dengan baik. DBKK kena ada perancangan cukup rapi agar pelaksanaan pelan perancangan dapat dilakukan secara berkesan,” katanya ketika berucap dalam Majlis Pelancaran ‘KK Moving Forward’ di sini, pada Khamis.

Mohd Shafie juga mahu DBKK menyediakan sistem pengangkutan awam yang lebih sistematik agar masalah kesesakan jalan raya di bandaraya ini dapat dikurangkan.

Katanya, sistem pengangkutan yang ada juga perlu ada penyambungan (connectivity) bagi memudahkan masyarakat setempat menggunakan perkhidmatan awam.

Dalam majlis itu, Mohd Shafie turut menyampaikan watikah perlantikan Ahli Lembaga Penasihat DBKK bagi tempoh 2019 hingga 2022.

Turut hadir dalam majlis itu adalah Timbalan Ketua Menteri Datuk Christina Liew, Pembantu Menteri di Jabatan Ketua Menteri merangkap menteri bertanggungjawab terhadap DBKK Arifin Asgali, Datuk Pembantu Menteri, Jimmy Wong dan Mayor Bandaraya Kota Kinabalu Datuk Nordin Siman.