Shafie Lihat Keperluan Beri Cuti Umum Kepada Swasta

Oleh SURAIDAH ROSLAN
PAPAR: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal akan melihat keperluan untuk memberikan cuti umum pada Sabtu depan bagi memudahkan orang turun mengundi.

Beliau berkata, kerajaan akan melihat keperluan itu.

“Kita boleh minta mereka cuti jika itu yang mereka mahu,” katanya ketika ditanya mengenai kesukaran pekerja syarikat swasta untuk turun mengundi pada 26 September ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Bersama Rakyat Pantai Manis dan Limbahau, di Dewan Masyarakat Papar, hari ini.

Hari Mengundi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-16 akan diadakan pada 26 September dengan Hari Mengundi Awal akan dijalankan pada 22 September.

PRN Sabah kali ini melibatkan 447 calon yang bertanding bagi merebut 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), setelah 13 kerusi baharu diluluskan pada 17 Julai 2019.

Pengundi berdaftar bagi PRN Sabah berjumlah 1.124 juta orang.

PRN Sabah diadakan susulan pembubaran DUN yang diumumkan pada 30 Julai lalu, susulan 13 ADUN kerajaan bertindak keluar parti bagi menyertai kem pembangkang.