Shafie Ketuai Pimpinan Negeri Beri Penghormatan Mendiang Stephen

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
KOTA KINABALU: Pimpinan kerajaan negeri diketua Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal hadir memberikan penghormatan terakhir kepada mendiang Datuk Stephen Wong Tien Fatt di pusat pengebumian Fook Lu Siew malam ini.

Turut bersama Mohd. Shafie ialah Menteri Pembangunan Infrastruktur, Datuk Peter Anthony; Menteri Undang-undang dan Hal Ehwal Anak Negeri, Datuk Aidi Mokhtar serta Menteri Belia dan Sukan, Datuk Frankie Poon Ming Fung.

Turut hadir, Menteri Pelajaran dan Inovasi, Datuk Dr. Yusof Yacob.

Selain memberi penghormatan, Mohd. Shafie turut meluangkan masa lebih sejam memberi dorongan dan sokongan kepada balu mendiang, Datin Chong Mee Fook.

Stephen, 64, meninggalkan seorang balu, tiga anak perempuan dan seorang anak lelaki serta dua cucu.

Jasad mendiang akan diterbangkan ke Sandakan esok sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Kristian Batu 12, Jalan Labuk pada Isnin ini.

Upacara memberi penghormatan kepada mendiang akan diadakan selama dua hari di pusat pengebumian Fook Hing.

Stephen yang juga Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat merupakan Ahli Parlimen Sandakan selama dua penggal.

Sementara itu, Ming Fung berkata, pemimpin tempatan dan Pusat termasuk Menteri Kewangan, Lim Guan Eng; Menteri Industri Utama, Teresa Kok; Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh serta Penasihat DAP, Lim Kit Siang akan turut hadir memberikan penghormatan.

BERITA BERKAITAN: –

Jasad Bekas Menteri Stephen Wong Disemadi Di Sandakan Isnin

Sabah Kehilangan Pemimpin Berjiwa Rakyat – Shafie Apdal