Shafie Ketuai Delegasi Sabah Jumpa Pelabur Di China

1004

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal dan isteri Datin Seri Shuryani Shuaib berlepas ke China pada pagi Sabtu bagi mengadakan lawatan kerja selama lima hari.

Turut menyertai Mohd Shafie untuk lawatan kekrja itu adalah Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Perdagangan dan Industri Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau serta 32 usahawan daripada pelbagai industri di Sabah.

Delegasi bagi menjalin hubungan perdagangan dua hala antara Sabah-China itu tiba di Nanchang, Wilayah Jiangxi China sebelum tengahari Sabtu. Itu adalah lawatan kerja pertama ke China yang diketuai Mohd Shafie setelah beliau memegang tampuk pemerintahan sebagai Ketua Menteri.

Delegasi itu mengadakan kunjungan hormat kepada Gabenor Yi Lianhong dari Wilayah Jiangxi selepas makan tengahari.

Kemudian, delegasi itu dibawa melawat ibu pejabat helikopter Jiangxi Copper Corporation.

Pada Ahad, Mohd Shafie dan rombongan akan berlepas ke Shenzhen untuk melawat kilang kaca iaitu Xinyi Glass Holdings Ltd Factory di Dongguan.

Syarikat terlibat dalam perusahaan kaca itu telah bersetuju melabur untuk mewujudkan kilang pembuatan kaca di Sabah. Selepas itu, rombongan berkenaan akan melawat Pejabat dan kilang Huawei.

Pada Selasa, Mohd Shafie dijangka menyampaikan ucaptama mengenai Perdagangan dan Peluang Pelaburan di Sabah yang dianjurkan bersama oleh Kementerian Perdagangan dan Perindustrian Sabah serta Biro Komersil Shenzhen.

Beberapa Memorandum Persefahaman antara syarikat Sabah dan pelabur China dijangka akan dimeterai menerusi lawatan kerja berkenaan.

Ketua Menteri dijangka pulang pada Rabu.