Shafie Kekal KM Sabah Yang Sah; Jangan Pertikaikan Pelantikan Itu

1662

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Dengan keputusan mahkamah yang berpihak kepada Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal yang kekal sebagai Ketua Menteri yang sah, diharap tiada lagi pihak yang mempertikaikan pelantikannya.

“Saya berharap jangan ada lagi pihak-pihak tertentu yang mempunyai tanggapan berbagai hingga melambatkan proses pembangunan. Sudah enam bulan kita mentadbir Sabah,” kata Shafie ketika ditemui selepas pengumuman keputusan kes pertikaian jawatan Ketua Menteri Sabah di Mahkamah Tinggi, di sini pada Rabu.

“Dengan gangguan-gangguan ini ia boleh membantutkan keyakinan pelabur. Dengan ketetapan ini saya harap semua pihak akan terus memastikan negeri Sabah dapat dimaju dan dibangunkan.”

Shafie turut diiringi Timbalan-timbalan Ketua Menteri Datuk Christina Liew, Datuk Jaujan Sambakong dan Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau serta beberapa menteri kabinet yang lain.

Shafie berkata, proses perjalanan mahkamah berjalan lancar dan pihaknya sedia maklum pendirian mereka sejak dari awal untuk menyerahkan kepada pihak mahkamah untuk menjalankan tugas dari segi perundangan yang ada.

“Kita sudah tahu tentang asas-asas ditetapkan hakim, ini cukup jelas bahawa interpretasi Musa tidak boleh diterima pakai.

“Saya tidak mahu sebut secara terperinci tapi kita panjatkan kesyukuran kepada Allah SWT terhadap proses perjalanan ini,” katanya.

Presiden Parti Warisan Sabah berkata, bagi pihak Kerajaan Negeri mereka hanya mahu mentadbir Sabah agar rakyat terus mendapat pembelaan sebaik mungkin supaya rakyat mempunyai pekerjaan dan pendapatan.

Ditanya tentang nasihat kepada pembangkang, beliau menyarankan agar pembangkang terus memainkan peranan sebagai pembangkang yang bijak.

“Mereka perlu memainkan peranan dalam menegur apa yang perlu agar usaha membela nasib rakyat tidak terbantut.

“Saya yakin rakyat diperingkat akar umbi perlu pembelaan dan saya harap semua pihak dapat memberi tumpuan untuk membangunkan negeri Sabah,” ujarnya.