Shafie: Kawasan Penculikan Sangat Terpencil, Kurang Kawalan

110

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
KOTA KINABALU: Kerajaan negeri akan mencari jalan penyelesaian memastikan kejadian penculikan yang berlaku di perairan Tambisan, Lahad Datu dapat dicegah daripada berulang lagi.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, kejadian penculikan membabitkan tiga nelayan Indonesia di perairan itu pagi ini berlaku di kawasan yang paling terpencil di pantai timur Sabah.

Katanya, pihak berkuasa Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) memang ada di tempatkan di pantai timur, namun bukan di kawasan perairan itu.

“Kejadian itu di kawasan sama yang sangat dekat dengan Tawi-Tawi (Filipina) dan tidak dikawal sepenuhnya. Saya sudah cadangkan supaya kawasan tersebut mesti ada pos kawalan supaya kita ada penghalang di situ, kita sudah ada Esscom tetapi bukan di kawasan itu kerana sangat terpencil,” katanya ketika ditemui pemberita malam ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 12 tengah hari ini, tiga nelayan Indonesia dipercayai diculik dari sebuah bot milik lelaki tempatan ketika berada di perairan Tambisan, Lahad Datu berhampiran selatan Filipina.

Semua mangsa dipercayai diculik tujuh lelaki lengkap bersenjata dan bertopeng yang menggunakan dua bot pam pada pukul 12 tengah hari ini.

Penculik berkenaan dipercayai daripada kumpulan culik untuk wang tebusan (KFR).

Ketiga-tiga mangsa ialah Maharudi Lunani, 48, Muhammad Farhan, 27, dan Samiun Maneu, 27.

Menurut sumber, sebaik menerima maklumat, pihak berkuasa yang melakukan pencarian menemukan sebuah bot kosong dalam keadaan enjin masih hidup di perairan Tambisan.

Mohd. Shafie berkata, beliau telah menerima maklumat tentang penculian itu dan menunggu laporan rasmi daripada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut.