Shafie Jumpa Dr. Mahathir Pada Rabu

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal akan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad di Putrajaya esok.

Perkara tersebut disahkan Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan akhbar petang ini.

Menurut kenyataan itu, Perdana Menteri telah pun mengadakan pertemuan dengan ketua-ketua parti politik di pejabat beliau hari ini.

“Antara yang hadir termasuk Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg (Pengerusi GPS), Tan Sri Muhyiddin Yassin (Presiden Bersatu), Datuk Seri Anwar Ibrahim (Presiden PKR), Lim Guan Eng (Setiausaha Agung DAP), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi (Presiden UMNO), Datuk Seri Abdul Hadi Awang (Presiden Pas) dan Mohamad Sabu (Presiden Amanah).

“Dr. Mahathir juga mengadakan pertemuan dengan Datuk Seri Azmin Ali (bekas Timbalan Presiden PKR).

“Esok Dr. Mahathir dijangka bertemu Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal,” kata kenyataan itu.

Sementara itu, Mohd. Shafie dijangka bertolak ke Kuala Lumpur malam ini untuk persediaan mengadakan pertemuan berkenaan.

Difahamkan, Mohd. Shafie bersama Ahli Parlimen Warisan dijangka turut mengadakan pertemuan bersama Yang Di-Pertuan Agong esok.