Shafie, Jaujan Melawat Mangsa Bot Karam

SEMPORNA: Ahli Parlimen Semporna, Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal hari ini mengunjungi mangsa tragedi bot karam di kediaman mereka di Kampung Sungai Nasip, di sini.

Beliau tiba pada kira-kira pukul 7.00 pagi dan meluangkan masa hampir sejam untuk menyampaikan ucapan takziah dan simpati kepada keluarga mangsa yang meninggal dunia dan mendoakan mereka sabar dan tabah dalam menghadapi ujian ini.

Tujuh penumpang bot malang itu termasuk lima kanak-kanak dilaporkan lemas apabila bot berkenaan karam di perairan Pulau Timbun Mata di sini, kira-kira jam 8.50 malam, Khamis lalu.

Dalam insiden itu, sebuah bot yang dinaiki 21 penumpang dalam perjalanan dari Kampung Bakung-Bakung ke Kampung Tandoan yang terletak di Pulau Timbun Mata, karam di perairan kampung berkenaan, akibat cuaca buruk.

14 penumpang lain berjaya diselamatkan penduduk kampung.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulabayan, Datuk Jaujan Sambakong turut mengunjungi keluarga mangsa bot karam itu.

Jaujan menyampaikan salam takziah kepada keluarga mangsa yang lemas dalam tragedi itu.

Beliau amat bersimpati dengan kejadian yang menimpa keluarga terbabit dan berharap agar mereka tabah menghadapi dugaan itu.

Atas keprihatinan pemimpin Parti Warisan (Warisan) di daerah ini, satu majlis tahlil akan diadakan bagi mendoakan semua mangsa agar rohnya dicucuri rahmat.