Shafie: Jangkitan Import Covid-19 Perlu Ditadbir Urus Dengan Baik

Oleh JENNIFER TUGUNG MICHAEL
TAWAU: Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal sekali lagi mengingatkan semua pihak untuk tidak memandang ringan penularan kes Covid-19 yang masih berlanjutan di negeri ini.

Mengulas mengenai kes positif Covid-19 yang dikesan dari negara Filipina semalam, Ketua Menteri itu berkata, meskipun jumlahnya kecil, jangkitan daripada import itu perlu ditadbir urus dengan baik.

“Semalam saya pun telah berhubung dengan Pengarah Kesihatan untuk memastikan walaupun jumlahnya tidak besar tetapi jangkitan daripada import ini perlu ditadbir urus dengan baik.

“Itulah ada keperluan untuk mana-mana pihak yang datang dari luar, kita akan kuarantin, saya akan melihat trend dia, kalau keadaan ini berlarutan di mana kes import bertambah maka kita akan letak kuarantin kepada mereka,”katanya dalam satu sidang akhbar hari ini.

Sebelum ini, Mohd. Shafie menekankan agar pihak berwajib hendaklah meningkatkan penguatkuasaan prosedur standard operasi (SOP),susulan peningkatan kes Covid-19 bermula 24 Julai lalu di negeri ini.

Katanya, penularan wabak ini dikhuatiri akan terus meningkat sekiranya tindakan kawalan tidak diperketatkan.

Tegasnya, beliau memandang serius kes penularan Covid-19 di Sabah.