Shafie Ingatkan Rakyat Hayati Latar Belakang Sejarah Pembentukan M’sia

1749
Perjanjian Malaysia pula adalah asas kepada pembentukan Malaysia, kata Ketua Menteri. Shafie Apdal menyambut timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Rakyat di negeri ini harus memahami dan menghayati kandungan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) serta latar belakang sejarah yang membawa kepada pembentukan Malaysia.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal berkata, sejarah pembentukan Malaysia pada tarikh 16 September itu adalah fakta kukuh yang tidak boleh dinafikan.

Pembentukan Malaysia dibina atas pakatan murni, dimana sebarang persetujuan dicapai demi kepentingan rakyat secara keseluruhannya. Perjanjian Malaysia pula adalah asas kepada pembentukan Malaysia.

“Maka, kita perlu menghayati kandungan MA63 dan latar belakang sejarah yang membawa kepada peristiwa penting ini.

“Kita perlu kembali semula kepada kata-kata yang termeterai dalam MA63. Ia bukan sekadar kata diungkapkan daripada pihak colonial Inggeris. Ia adalah bukti bertulis mengenai persetujuan dan kebersamaan wilayah-wilayah yang berbeza namun, punyai matlamat yang sama.

“Ia dilakukan demi membina sebuah negara bangsa yang merdeka dan berdaulat serta maju dari segi ekonomi untuk kesejahteraan rakyat,” katanya semasa berucapa dalam Majlis Sambutan Hari Malaysia 2018, di sini pada Ahad malam.

Dalam pada itu, Shafie juga mengingatkan masyarakat di negeri ini supaya memelihara kesatuan dan perpaduan yang ada demi meneruskan pembangunan di Sabah.

Untuk itu, proses pengukuhan perpaduan rakyat harus diteruskan kerana peredaran masa membawa pelbagai cabaran baharu yang boleh menjejaskan perpaduan masyarakat berbilang kaum dan agama di negeri ini.

Menurutnya, sejak kerajaan baharu mengambil alih pucuk pimpinan, banyak pelabur menunjukkan minat untuk melabur di negeri ini terutama dalam sektor-sektor strategik.

“Kita komited untuk melonjakkan pembangunan dan ekonomi di negeri ini dengan tumpuan usaha mengukuhkan kedudukan kewangan menerusi perancangan dan pengurusan fiskal,” jelasnya.

Shafie berkata, kerajaan juga akan terus komited untuk membangunkan dan menyediakan sumber manusia yang berilmu, berkemahiran tinggi serta berinovatif.

“Pastinya jika perancangan ini berjalan lancar, Sabah bukan lagi menjadi negeri yang pesat membangun, malah tiada kumpulan rakyat akan ketinggalan menikmati arus pembangunan semasa.

“Sesungguhnya keharmonian kaum dan kesatuan perpaduan rakyat berbilang kaum, agama dan adat resam menjadi kunci kepada kepesatan pembangunan di negeri ini,” katanya.

Dalam majlis itu, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, Shafie bersama-sama wakil Kerajaan Negeri Sarawak iaitu Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Unggah turut menandatangani Nota Catatan Hari Malaysia.