Shafie Ingatkan Rakyat Eratkan Perpaduan, Tangkis Idelogi Ekstremis

222

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Rakyat yang beragama Islam di negeri ini diingatkan supaya sentiasa berpegang teguh kepada ajaran Islam sebenar yang damai dan sejahtera agar dapat menangkis ideologi ekstrim yang mampu mengugat keharmonian dan perpaduan masyarakat pelbagai kaum di Sabah.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal berkata, masyarakat Islam hari ini berdepan dengan cabaran keselamatan dan keamanan dengan wujudnya fahaman atau ideologi eksterim, ajaran salah, meragukan dan gerakan terorisme.

“Justeru itu, umat Islam perlu lebih peka dan bijak dalam menyaring maklumat serta mendalami tafsiran yang murni dan benar. Biarpun Malaysia berada dalam kedudukan ketiga paling aman di rantau Asia, namun untuk mengekalkan keadaan tersebut bukanlah semudah yang disangka.

“Masih terdapat segelintir kumpulan atau individu yang cuba untuk memecahbelahkan kaum dengan menimbulkan spekulasi dan fitnah. Pelbagai platfom digunakan hingga membangkit keresahan dan kegusaran rakyat.

”Perbuatan sedemikian amat merugikan negeri dan rakyat yang sudah berabad lamanya menjalani kehidupan yang harmoni,” katanya dalam perutusan sempena Hari Raya Aidilfitri 2019, di sini pada Selasa.

Oleh itu, rakyat di negeri ini perlu mengamalkan sifat toleransi yang tinggi dalam memahami budaya setempat agar setiap perayaan dapat diraikan dengan penuh hikmah dan berlapang dada.

Beliau juga mengajak rakyat memberi penghargaan dan sanjungan kepada semua perajurit serta anggota keselamatan yang menabur bakti dan berkorban siang dan malam demi menjaga keamanan dan keselamatan di negeri ini.

Dalam pada itu, Mohd Shafie juga mengingatkan rakyat supaya berusaha menangani ujian dan krisis intergriti dengan penuh bijaksana. Soal intergriti ini memerlukan penyertaan semua pihak, samada di peringkat kepimpinan mahupun rakyat jelata.

”Maka, kita berganding bahu dalam mengekang dan membenteras budaya memberi dan menerima habuan demi memenuhi permintaan,” jelasnya.

Menurutnya, dalam berdepan dengan krisis ekonomi global, kepimpinan negeri sentiasa mencari pelbagai penyeesaian serta meneroka bidang-bidang yang boleh membantu rakyat dalam menghadapi kemelut ini.

Katanya, kerajaan terus komited menjalankan promosi produk-produk tempatan yang boleh merancakkan lagi kemasukan pelancong ke negeri ini.

Beliau juga memberi jaminan untuk memastikan faedah pembangunan dan kemakmuran ekonomi di Sabah dapat dinikmati bersama dan secara saksama.

Beliau berkata, rakyat perlu mengeratkan perpaduan masyarakat pelbagai kaum di Sabah.

”Kita perlu memperkukuhkan ukhuwah dan tali persaudaraan sesama kita, ketepikanlah segala perbezaan, nikmati keharmonian sedia ada, saling berkunjungan, saling maaf memaafkan di samping menikmati juadah yang pelbagai sempena perayaan ini.

”Tidak lupa saya ingatkan, pada hari yang penuh kegembiraan ini, ziarahilah ayah dan ibu yang sudah lama menahan rindu menanti kepulangan anak-anak di perantauan.

”Kepada mereka yang berkesempatan untuk balik ke kampung halaman, pastikan keselamatan menjadi keutamaan,” ujarnya.

Akhir kalam, beliau dengan tawadhuk dan rendah hati menyusun sepuluh jari memohon ampun dan maaf bagi pihak diri, keluarga dan kepimpinan negeri jika ada sebarang kesalahan. Hendaknya jangan di simpan di dalam hati sehingga menjadi dendam yang tak kunjung padam.

PERUTUSAN HARI RAYA AIDIL FITRI 2019 OLEH YAB DATUK SERI PANGLIMA HAJI MOHD SHAFIE HAJI APDAL KETUA MENTERI SABAH

Bismillahir Rahmanir Rahim,
Alhamdulillahi Rabbil ‘Alamin wa bihi nasta’in,
Wassolatu Wassalamu ‘Ala Sayyidina Wamaulaana Muhammad
Wa’ala Aalihi Wasohbihi Ajma’iin..

Assalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Ta’ala Wabarakatuh….

1. Telah datang saat kemenangan meraikan Aidil Fitrj. Fajar syawal akhirnya menyinsing jua setelah terbenamnya mentari Ramadhan. Bulan yang penuh dengan pakej kemuliaan dan sinaran keberkatan. Padanya jua diturunkan Al-Quran, dikurniakan pula Lailatul Qadar yakni suatu malam yang lebih baik dan paling afdhal keberkatannya dari seribu bulan.

2. Justeru, setelah sebulan kita menempuh hari-hari yang penuh keberkatan, menahan lapar dan dahaga di samping bermujahadah melawan nafsu. Hikmah di sebalik ‘ibadah tersebut dapat menyemai sifat keinsafan serta belas kasihan terhadap golongan yang kurang bernasib baik yang serba kekurangan. Kendatipun demikian, itulah saat yang paling afdhal untuk kita meraih sebanyak ganjaran pahala dan rahmatNya Allah SWT, dengan menyantuni mereka yang seagama dengan kita serta merapatkan jurang perpaduan dengan sahabat kita yang berlainan agama.

3. Maka tatkala sampai ketikanya, saban tahun umat Islam di Negeri ini khasnya dan Malaysia amnya serta seluruh pelusuk dunia, menyambut Hari Kemenangan yakni meraikan ‘Aidil Fitri dengan penuh rasa syukur dan suasana keriangan.

4. Jika kita menekuni permasalahan global mutakhir kini, Negara kita sendiri tidak dapat lari dari menghadapi pelbagai ujian dan cabaran. Di peringkat domestik, kita berhadapan dengan ujian dan krisis integriti yang sering menghiasi dada akhbar dan viral di media sosial. Justeru penggembelingan usaha perlu dilakukan, agar ianya dapat ditangani dengan penuh bijaksana. Hal ini menuntut penyertaan daripada semua pihak, samada di peringkat kepimpinan mahupun rakyat jelata. Berganding bahu dalam mengekang dan tindakan membenteras budaya memberi dan menerima habuan demi memenuhi permintaan.

5. Manakala cabaran kedua pula, terdapat segelintir kumpulan atau individu yang cuba untuk memecahbelahkan kaum dengan menimbulkan spekulasi dan fitnah. Pelbagai platfom digunakan hingga membangkit keresahan dan kegusaran rakyat. Pada hemat saya, perbuatan sedemikian amat merugikan Negeri dan Rakyat yang sudah berabad lamanya kita menjalani kehidupan yang harmoni. Apalah ertinya hidup dalam kemewahan, sedangkan kita masih lagi terpenjara dalam ketakutan. Justeru sifat toleran dalam memahami budaya setempat perlu diteruskan. Kita raikan setiap perayaan yang ada, dengan penuh hikmah dan berlapang dada.

6. Islam itu agama yang damai dan sejahtera. Lantas bagi menjunjung kesuciannya, kita perlu berpegang teguh dengan The Authenthic Islam. Yakni ajaran Islam sejati dalam pengertian yang sebenar-benarnya. Inilah cabaran selanjutnya yang kita hadapi sebagai umat Islam, iaitu cabaran keselamatan dan keamanan dengan wujudnya fahaman atau ideologi eksterim, ajaran salah, meragukan dan gerakan terorisme. Justeru itu umat Islam perlu lebih peka dan bijak dalam menyaring maklumat serta mendalami tafsiran yang murni dan benar. Sungguhpun negara kita Malaysia berada dalam kedudukan ketiga paling aman di rantau Asia, namun untuk mengekalkan keadaan tersebut bukanlah semudah yang disangka. Justeru itu, pada kesempatan ini, marilah sama-sama kita berikan penghargaan dan sanjungan kepada semua perajurit serta anggota keselamatan negara yang telah menabur bakti dan berkorban siang dan malam.

7. Cabaran kita yang berikutnya dari sudut Iktisad atau ekonomi. Kita sekali lagi berdepan dengan ketidaktentuan ekonomi global. Di pihak kepimpinan negeri, kita juga sentiasa berusaha mencari pelbagai solusi, serta meneroka bidang-bidang yang boleh membantu rakyat dalam menghadapi kemelut ini. Kita terus komited menjalankan promosi produk-produk tempatan yang boleh merancakkan lagi kemasukan pelancong ke negeri ini. Seperti yang dimaklumi, sektor perkhidmatan termasuk pelancongan dan perkhidmatan kerajaan kekal sebagai penyumbang utama. Kita juga masih berusaha agar sektor pertanian dapat kita perkasakan dengan pelaksanaan Dasar Pertanian Sabah Ketiga dengan penekanan kepada pemodenan industri hiliran asas tani, peningkatan produktiviti pengeluaran hasil tanaman dan perikanan. Maka oleh sebab itu, adalah menjadi hasrat kita selaku kepimpinan negeri, untuk memastikan faedah pembangunan dan kemakmuran ekonomi dapat dinikmati bersama dan secara saksama.

8. Dalam sebuah majlis penyampaian sumbangan kueh hari raya kepada anggota keselamatan negeri, saya turut mengumumkan pemberian bantuan khas AidilFitri bernilai RM500 kepada penjawat awam negeri. Mudah-mudahan dengan sedikit bantuan ini saya berharap anda semua dapat membuat perbelanjaan dengan berjimat cermat. Elakkanlah membeli mengikut kehendak hawa nafsu, semoga kita terhindar daripada sifat suka membazir dan sebagainya.

9. Bersempena dengan kehadiran hari mulia AidilFitri yang penuh dengan kegembiraan ini, saya ingin menyeru kepada sekalian rakyat agar dapat mengeratkan perpaduan pelbagai kaum di negeri ini. Perkukuhkanlah ukhuwah dan persaudaraan sesama kita, ketepikanlah segala perbezaan, nikmati keharmonian sedia ada dengan budaya berlapang dada, saling berkunjungan, saling maaf memaafi di samping menikmati juadah yang pelbagai. Tidak lupa saya ingatkan, di hari yang penuh kegembiraan ini, ziarahilah ayah dan ibu yang sudah lama menahan rindu menanti kepulangan anak-anak di perantauan. Kepada mereka yang berkesempatan untuk balik ke kampung halaman, pastikan keselamatan menjadi keutamaan. Pandulah dengan penuh cermat dan mematuhi peraturan serta undang-undang jalan raya, agar kita sampai destinasi dengan selamat.

10. Akhir kalam, saya dengan tawadhuk dan rendah hati menyusun sepuluh jari memohon ampun dan maaf bagi pihak diri, keluarga dan kepimpinan negeri jika ada sebarang kesalahan. Hendaknya jangan di simpan di dalam hati sehingga menjadi dendam yang tak kunjung padam.