Shafie Gesa Pertingkat Keselamatan Sabah, Elak Ancaman Waris Sultan Sulu

KOTA BELUD: Usaha mempertingkat keselamatan di negeri ini harus menjadi keutamaan agar tiada pihak luar yang berani menceroboh masuk ke Sabah.

Presiden Parti Warisan (Warisan), Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal berkata, dalam menangani ancaman daripada waris Kesultanan Sulu, aspek keselamatan di Pantai Timur Sabah harus diberi perhatian serius.

Beliau berkata, sudah 60 tahun namun, keselamatan Sabah masih lagi terancam disebabkan tuntutan daripada pihak yang tidak pernah diiktiraf di negara ini.

“Setiap kali menjelang pilihan raya maka, timbul isu Sultan Sulu, timbul isu kad pengenalan hingga menyebabkan masyarakat di pedalaman bimbang kerana dikatakan jika tidak undi parti tertentu maka, Sabah tidak selamat.

“Sudah 60 tahun Sabah masih tidak selamat, bukan tidak selamat sepenuhnya tapi, perlu ada penambahbaikan dari segi sistem keselamatan negara. Anggota ketenteraan dan polis serta aset keselamatan perlu direform bagi memastikan keselamatan Pantai Timur Sabah terjamin,” katanya selepas perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Warisan Kota Belud kelmarin.

Menurut beliau, ketika ini tiada aset ketenteraan ditempatkan di Pantai Timur Sabah biarpun kawasan itu menerima ancaman yang lebih kerap.

Oleh itu, sudah tiba masanya untuk kerajaan menambah baik sistem keselamatan di Pantai Timur dengan menempatkan aset keselamatan di situ.

Ahli Parlimen Semporna itu berkata, Kementerian Pertahanan menerima RM17 bilion dalam Bajet 2022 namun, kemana peruntukan itu?. Adakah penambahbaikan dari segi kem-kem tentera dan keanggotaan keselamatan.

“Sejarah menunjukkan kita tidak mempunyai anggota keselamatan yang mencukupi di Pantai Timur Sabah.

“Semasa anasir luar menakluk sebuah bank di Lahad Datu dan semasa Semporna ditakluki selama beberapa jam jelas menunjukkan anggota (keselamatan) kita tidak cukup. Jadi, saya suarakan keselamatan perlu dipertingkatkan,” katanya.