Shafie Gesa Kerajaan Tangani Segera Kenaikan Harga Barang

KOTA KINABALU: Kenaikan harga barang yang tidak terkawal di pasaran ketika ini harus ditangani secara komprehensif.

Presiden Parti Warisan (Warisan), Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal berkata, kerajaan perlu mengambil tindakan segera bagi mengelakkan rakyat terus dibebani dengan harga barangan yang terlalu mahal.

Beliau berkata, peningkatan harga barangan ini bukan hanya perlu diturunkan di peringkat peniaga sebaliknya perlu diturunkan di peringkat peniaga dan pembekal.

Sekiranya peniaga sahaja diarahkan menurunkan harga barangan, mereka akan berdepan kerugian kerana harga asal daripada pembekal sudah cukup tinggi.

Secara umumnya, kenaikan harga barangan ini berkaitan dengan rantaian bekalan. Oleh itu, harga perlu dikawal sejak dari peringkat peniaga dan pembekal.

“Kenaikan harga barangan ini memberi bebanan perbelanjaan yang tinggi terhadap pengguna maka, masalah ini perlu ditangani segera. Semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ramai yang kehilangan pekerjaan dan tidak mempunyai pendapatan.

“Jadi kenaikan harga barangan ini akan terus membebankan pengguna yang terjejas pendapatan semasa PKP.

“Saya faham bekalan sayur-sayuran di Semenanjung Malaysia turut berdepan dengan masalah tenaga kerja dan kos pengangkutan yang tinggi disebabkan harga petrol yang meningkat. Pekerja tempatan pula tidak mahu menjadi buruh.

“Perkara sebegini cukup serius dan perlu diatasi oleh pihak pemerintah di negara ini,” katanya selepas tinjauan harga barangan di Pasar Besar Kota Kinabalu, kelmarin.

Ahli Parlimen Semporna berkata, dalam menangani kenaikan harga barangan ini tidak boleh hanya bergantung kepada penguatkuasaan semata-mata kerana masalah ini bukan disebabkan peniaga mengambil kesempatan menaikkan harga barangan.

Masalah kenaikan harga ini bermula di peringkat pengeluar dan pembekal jadi, tangani masalah bermula dari peringkat berkenaan.

“Contohnya harga seekor ayam dahulu RM9 dan sekarang harganya meningkat lebih RM1. Oleh itu, kita kena melihat harga yang ditetapkan oleh penternak mahupun pembekal dan kita juga harus mengambil kira kos pengangkutan dan penglibatan orang tengah,” katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senallang berkata, situasi semasa akan menyebabkan kadar inflasi di negara ini meningkat, begitu juga dengan bebanan hutang negara.

“Kerajaan hari ini melantik banyak menteri dan mereka mempunyai gaji. Namun, rakyat tiada (pendapatan) terpaksa berhadapan masalah harga barang yang tinggi, ini amat membebankan,” katanya.