Shafie: Formula Tidak Tepat, Hasil Cukai Pelancongan Sabah Sedikit

156

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
KOTA KINABALU: Sektor pelancongan Sabah mencatat sejarah tertinggi pada 2018 melalui kehadiran pelancong mencecah 3.87 juta orang dengan kutipan hasil terbanyak pernah direkodkan iaitu RM8.342 bilion.

Tetapi hakikatnya, kerajaan negeri Sabah hanya menerima hasil cukai keseluruhan sebanyak kira-kira RM24 juta setahun kerana selebihnya masuk ke dalam akaun Kerajaan Persekutuan.

Mengulas perkara itu, Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, beliau mahu agar formula pengiraan cukai yang digunakan sekarang disemak semula kerana tidak tepat memandangkan Sabah hanya menerima cukai pintu daripada sektor pelancongan setiap tahun.

Katanya, sebagai sektor ketiga terbesar penyumbang kepada hasil negara,Sabah sepatutnya menerima pendapatan lebih tinggi berbanding jumlah itu kerana sektor pelancongan turut memberikan hasil cukai yang tinggi kepada industri makanan, hartanah dan Imigresen.

“Saya difahamkan tahun ini ialah sejumlah lebih daripada RM24 juta sahaja, tapi bila saya lihat formula itu agak tidak tepat dan saya telah suarakan supaya kita semak semula kerana hasil daripada pelancongan berdasarkan formula yang digunakan ialah cukai pintu, cukai bilik hanya satu sektor.

“Tetapi sudah tentu hasil daripada pelancongan banyak, industri makanan, hotel, hartanah, Imigresen banyak yang dapat hasil, kita yakin pendapatan daripada sektor pelancongan mencecah berbilion ringgit,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Terdahulu, beliau merasmikan Majlis Pecah Tanah Pembinaan Hotel Grand Liberty milik penuh syarikat pelaburan swasta, Grand Liberty Sdn. Bhd.

Mohd. Shafie berkata, perbincangan mengenai peningkatan hasil cukai kepada Sabah dalam semua sektor termasuk pelancongan adalah antara perkara yang sedang dilakukan kerajaan negeri dengan Persekutuan membabitkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Sementara itu, mengulas pembinaan hotel tersebut, Ketua Menteri menyambut baik langkah syarikat berkenaan kerana sektor pelancongan Sabah sedang berkembang, justeru perkhidmatan perhotelan amat diperlukan.

Katanya, arahan telah dikeluarkan kepada pihak berkuasa tempatan agar setiap pelaburan yang masuk ke Sabah termasuk perhotelan diberikan kerjasama sepenuhnya terutama dalam urusan pelesenan supaya urusan lebih cepat.

“Di antara usaha yang sedang giat dilakukan oleh pihak kerajaan ialah mempercepatkan proses kelulusan lesen yang diperlukan oleh pihak-pihak pelabur ini, jangan dilambatkan pada saat ini kita bagi tempoh yang agak singkat tidak boleh berbulan-bulan atau tahun.

“Saya sudah bagi arahan kepada semua agensi yang terbabit di dalam membuat kelulusan itu sama ada kelulusan pelaburan yang ada atau berbagai-bagai kelulusan supaya percepatkan agar pihak pelabur dan usahawan ini tidak dibebankan dengan kelewatan untuk mereka mahu membangunkan apa juga sektor yang mereka terlibat,” katanya.