Shafie Dedah Tentang PSS Dan Pan Borneo Di Depan 3,000 Rakyat

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
BONGAWAN: Buat pertama kali sepanjang kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal menunjukkan dokumen Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai warga asing di Sabah yang disaksikan lebih 3,000 pengundi yang hadir dalam program Himpunan Anak Muda Kimanis malam tadi.

Ketua Menteri menunjukkan dokumen setebal 368 muka surat itu bagi menjelaskan kepada rakyat mengenai kegagalan kerajaan terdahulu menyelesaikan masalah pendatang asing tanpa izin (PATI) di Sabah walaupun telah dicadangkan oleh jawatankuasa RCI yang dipengerusikan bekas Presiden PBS, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan.

Mohd. Shafie berkata, beliau menunjukkan dokumen tersebut kerana Barisan Nasional (BN) mengaitkan isu PATI di negeri ini dengan Parti Warisan Sabah (Warisan) walaupun hakikatnya parti itu baru memerintah Sabah selama setahun lapan bulan.

“Apa cadangan dia, sebagai tambahan jawatankuasa mencadangkan pengenalan pas penduduk sebagai satu cara memberikan justifikasi kepada banyak pas yang berbeza yang digunakan pada masa ini oleh orang-orang asing pendatang, ini cadangan banyak tahun sudah keluar tetapi tidak dilaksanakan yang dilaksanakan cadangan mereka ialah pas residen,” katanya.

Dalam pendedahan tersebut, Mohd. Shafie turut menerangkan kronologi bagaimana wujud cadangan pas residen melalui dokumen minit mesyuarat yang dipengerusikan Pairin pada tahun 2016.

Bagaimanapun katanya, penggunaan nama pas residen adalah tidak sesuai kerana memberi tanggapan seolah-olah warga asing pemegang IMM13, Kad Burung-Burung dan Sijil Banci dibenarkan tinggal selama-lamanya di Sabah, justeru beliau meminta ia ditukar sebagai Pas Sementara Sabah (PSS).

“Minit mesyuarat jawatankuasa teknikal pengurusan warga asing di Sabah Bil 1 2016, jawatankuasa ini bermesyuarat pada Mac 2016 Isnin, pukul 10.30 pagi, 1.30 tengah hari masanya, di Wisma Innoprise.

“Dia mencadangkan supaya kerajaan memperbaiki sistem dokuman pengenalan diri sementara sedia ada dalam kalangan warga asing dengan membuat dokumen yang seragam bagi memudahkan proses pengurusan penguatkuasaan terhadap golongan warga asing.

“Sampai kepada saya apa pas yang mahu diperkenalkan, pas residen, saya beritahu mana boleh pas residen macam residen mahu tinggal tetap saya beritahu jangan pas residen Tan Sri Muhyiddin Yassin letak situ pas sementara bukan residen,” katanya.

Sementara itu, Mohd. Shafie turut menunjukkan dokumen mengenai penglibatan sebuah syarikat iaitu Kekal Mewah milik orang kenamaan di Kimanis yang mendapat projek bernilai RM567 juta melalui cara yang tidak betul dalam Projek Lebuh Raya Pan Borneo.

Sehubungan itu katanya, beliau telah menghapuskan syarikat rakan pelaksana projek (PDP) yang telah dilantik bagi memastikan semua ketirisan tersebut dapat dihapuskan.

“Pasal apa saya minta, banyak ketirisan dia, belum jalan pampasan tanah RM900 juta, bagi projek dari Bongawan ke Papar pakej empat RM567 juta siapa yang dapat, Kekal Mewah.

“Ini bukan saya cipta, banyak lagi saya cuma sebut sedikit sahaja, Kekal Mewah RM500 juta, saya tidak mahu sebut siapa, orang Kimanis tahu siapa punya,” katanya.