Shafie, Darell Gandingan Mantap Ubah Sabah, Kata Presiden KDM M’sia

8332
KDM Malaysia juga ada pertandingan Unduk Ngadau tersendiri pada Pesta Kaamtan di Kimanis hari Rabu.

Oleh SABAHWARISANKITA.BLOGSPOT
KIMANIS: Parti Warisan Sabah (Warisan) berupaya membawa perubahan kepada Sabah di bawah gandingan mantap presiden, Mohd Shafie Apdal dan timbalan presiden, Darell Leiking.

Presiden KDM Malaysia, Peter Anthony berkata perubahan yang menjadi agenda Warisan ialah berlaku adil kepada semua kaum tanpa mengira anutan agama dan latar belakang keturunan.

PETER ANTHONY

“Parti Warisan Sabah akan mengutamakan kepentingan rakyat Sabah untuk mencapai kemakmuran bersama serta mengagihkan secara saksama peluang pekerjaan yang bakal diwujudkan kepada semua orang Sabah,” kata Peter.

Peter yang juga Naib Presiden Parti Warisan Sabah menambah, apabila Warisan membentuk kerajaan baharu negeri Sabah selepas PRU14, para pemimpin KDM dalam parti itu tidak akan mengkhianati kepentingan semua kaum termasuk kepentingan masyarakat KDM.

Peter menyatakan demikian ketika merasmikan Pesta Kaamatan Peringkat Kawasan Parlimen Kimanis bertemakan ‘Manampasi Tinungkusan KDM’ yang telah diadakan di Pekan Lama Kimanis 31 Mei 2017.

Turut hadir Naib Presiden Warisan, Junz Wong yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Likas dan Bendahari Warisan, Terence Siambun yang juga Adun Moyog.

Peter, naib presiden Parti Warisan, Junz Wong dan bendahari Terrence Siambun, dan lain-lain pemimpin parti memotong padi sebagai simbolik dengan acara perasmian perayaan Kaamatan.

Menurut Peter, Kaamatan adalah warisan tradisi budaya etnik Sabah yang perlu dirayakan bagi meneruskan amalan nenek-moyang dan disambut tanpa mengira anutan agama.

“Masyarakat KDM berhak menyambut Kaamatan di manapun juga dan sambutan itu dirayakan dalam semangat perpaduan bagi merealisasikan kesyukuran dengan meraikan bersama rezeki yang diperoleh,” katanya.

Peter mengajak semua pihak untuk memperkukuhkan semangat perpaduan dan bersatu padu menghadapi PRU14 untuk menumbangkan kerajaan Umno-BN. – sabahwarisankita. blogspot