Shafie: Ceroboh Ruang Udara, China Tidak Hormat Malaysia

KOTA KINABALU: Penerbangan pesawat perang China yang dilihat di ruang udara Malaysia secara jelas menunjukkan negara luar mula mengambil kesempatan atas kelembutan dasar luar Malaysia.

Pencerobohan ruang udara ini secara jelas menunjukkan apabila sesebuah kerajaan itu lemah, pihak lain akan mengambil kesempatan. Atas sebab itu, kerajaan perlu bertegas apabila berlaku pencerobohan sebegini.

Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal berkata, isu pencerobohan ruang udara ini adalah satu isu yang serius dan perlu diatasi dengan segera.

Biarpun China merupakan rakan dagang Malaysia namun itu buka alasan untuk mereka memasuki ruang udara Malaysia tanpa mendapat kebenaran.

“Dalam Dasar Luar Malaysia perlu ada kejelasan agar kawalan keselamatan di negara ini tidak terancam. Tindakan China ini memperlihatkan mereka tidak hormat kepada Malaysia.

“Jika dilihat dalam penangkapan ikan laut dalam pun masih ada kapal-kapal asing dari Vietnam dan China yang menceroboh masuk ke perairan Malaysia. Keadaan ini harus dikawal agar tidak mengundang masalah pada kemudian hari,” katanya dalam siaran langsung Facebook Unity Movement semalam.

Ahli Parlimen Semporna ini berkata, semasa beliau menjadi Menteri Pertahanan suatu ketika dahulu, kerjasama mengawal keselamatan perairan dan ruang udara begitu baik.

Namun, keadaan yang berlaku baru-baru ini menampakkan rasa tidak hormat China terhadap Malaysia dan perkara ini tidak pernah berlaku dahulu. China tidak boleh senang-senang masuk ruang udara Malaysia.

“Ini pun Kementerian Luar mengambil  masa tiga hari untuk mengeluarkan surat meminta penjelasan. Kita bukan hendak bawa rakan dagang bergaduh tapi, kena ada had dalam kerjasama yang ada. Tidak boleh biarkan China melakukan apa yang mereka mahu kerana dikhuatiri perkara ini akan terus berlanjutan.

“Sepatutnya apabila pesawat perang China masuk ruang udara Malaysia, Kedutaan China di Malaysia perlu tampil memberi penjelasan kepada menteri dan perkara itu harus didedahkan kepada rakyat agar tidak wujud sebarang salah faham,” katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senallang ini berkata, Malaysia perlu bertegas dalam isu keselamatan negara dan rakyat. Apabila kerajaan itu tegas, negara luar akan takut untuk bertindak sesuka hati dengan menceroboh masuk ruang udara dan perairan Malaysia.