Shafie Cadang Proton Buka Kilang Pemasangan Di Sabah

247

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
KOTA KINABALU: Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal mencadangkan Proton Holdings Berhad (Proton) agar membuka kilang pemasangan kenderaannya di negeri ini kerana lokasi Sabah yang sangat strategik untuk pasaran dalam dan luar negara.

Ketua Menteri berkata, kerajaan negeri bersedia memberi bantuan sebaik-baiknya kepada Proton termasuk menyediakan tanah serta tenaga buruh yang mencukupi untuk digunakan.

Beliau berkata, Proton bukan sahaja perlu mengambil peluang kedudukan Sabah yang dekat dengan negara jiran, malah Indonesia juga telah mengambil kesempatan untuk memindahkan ibu negaranya di Kalimantan.

“Shah Alam jauh dari Jepun di mana anda akan bersaing, Shah Alam jauh dari China dan Hong Kong serta Shah Alam jauh dari ibu negara Indonesia yang akan dibangunkan di Kalimantan.

“Kalimantan akan menjadi ibu negara Indonesia dan akan ada pelaburan besar di wilayah itu, beratus bilion akan dilaburkan maka kalau kita mampu mengambil peluang dan di Sabah banyak tidak bekerja lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan semasa melancarkan pembukaan pusat servis 4S pertama dan terbesar Proton yang dikendalikan sepenuhnya oleh Fook Loi Corporation (Sabah) Sdn. Bhd. (Fook Loi).

Turut hadir, Menteri Pelajaran dan Inovasi, Datuk Dr Yusuf Yacob dan Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Dr. Li Chunrong.

Mohd. Shafie berkata, kerajaan bercadang membina beberapa sekolah dan institusi vokasional di negeri ini bagi meningkatkan kemahiran golongan belia di Sabah seiring dengan permintaan buruh di pasaran.

Jelas beliau, Sabah juga merancang untuk membangunkan pelabuhan baharu di Kudat yang pasti menjimatkan lagi kos pengeluaran Proton kerana lokasinya sangat dekat dengan Filipina dan Hong Kong.

“Kami akan membina beberapa institusi termasuk kolej-kolej teknikal untuk meningkatkan kemahiran orang muda yang menepati kehendak pasaran agar kami boleh menyediakan buruh mahir dalam industri terutama automatif.

“Saya beri jaminan anda akan dapat tempat di sini, kerajaan sediakan tanah yang sangat baik dan kami juga akan bina pelabuhan baharu di Kudat iaitu lebih dekat dengan Filipina, Hong Kong serta Jepun berbanding Singapura atau Kuala Lumpur,” katanya.