Shafie: Berikan Saya Masa Untuk Bincangkan Cadangan Jadi PM

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
KOTA KINABALU: Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal menyifatkan cadangan Tun Dr. Mahathir menamakannya sebagai calon Perdana Menteri Pakatan Harapan Plus (PH Plus) merupakan satu penghargaan, namun beliau memerlukan masa untuk membuat keputusan untuk menerimanya atau tidak.

Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) itu berkata, beliau tidak pernah meminta untuk dicalonkan, justeru akan membincangkan cadangan tersebut secara terperinci terlebih dahulu.

“Saya amat bersyukur kerana cadangan itu datang daripada Tun sendiri, seorang Negarawan yang mencalonkan saya sebagai Perdana Menteri, saya perlu teliti secara mendalam, perlu berbincang dengan timbalan saya dan parti.

“Tidak pernah dalam sejarah apa yang beliau cadangkan, ini adalah cabaran besar kepada saya yang akan saya pertimbangkan secara serius, tidak lama cuma berikan saya masa sikit,” katanya dalam sidang akhbar di Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Peter Mojuntin hari ini.

Terdahulu beliau melakukan tinjauan prosedur operasi standard (SOP) persekolahan di sekolah tersebut dan menyampaikan sumbangan kerajaan negeri kepada sekolah.

Turut hadir, Menteri Pelajaran dan Inovasi, Datuk Dr. Yusof Yacob dan pembantunya, Jenifer Lasimbang; Pengarah Pelajaran, Dr. Mistrine Radin serta Ahli Parlimen Penampang, Datuk Darell Leiking.

Mohd. Shafie berkata, melihat pemimpin dari Sabah menjadi Perdana Menteri merupakan impian rakyat negeri ini termasuk bapa-bapa kemerdekaan Sabah.

Sebubungan itu katanya, perbincangan perlu dilakukan untuk melihat perkara itu dari semua sudut demi kepentingan rakyat negara ini.

Daripada segi kemampuan diri, Mohd. Shafie percaya beliau mempunyai pengalaman yang cukup kerana pernah berkhidmat dalam tujuh kementerian Persekutuan termasuk sekarang menjadi Ketua Menteri Sabah.

“Ini cadangan tokoh lama bukan sahaja di Malaysia tetapi tokoh antarabangsa, saya tidak minta malah saya beritahu dia saya mahu uruskan Sabah.

“Saya pun banyak pengalaman bukan tiada, 33 tahun saya berkhidmat dalam tujuh kementerian, kita akan bincangkan, saya tidak boleh buat keputusan sendiri, saya mahu bincang dengan rakan seperjuangan bukan bermaksud saya tidak pentingkan cadangan itu cuma kita tidak boleh bekerja secara silo,” kata Mohd. Shafie.

Sementara itu, ketika ditanya wartawan jika beliau mempercayai cadangan Dr. Mahathir memandang beberapa janji yang dibuat bekas Perdana Menteri itu sebelum ini tidak ditunaikan, Mohd. Shafie berkata, beliau tidak mahu membuat kesimpulan terlalu mudah.

“Dalam kehidupan ada perkara yang tidak bersetuju, ada yang kita setuju tetapi kita tidak ceraikan isteri.

“Bukan begitu cara membina negara, ini negara kita bukan sahaja milik Semenanjung tetapi juga Sabah, kita tidak boleh membuat kesimpulan terhadap pemimpin tidak kira Tun atau Tan Sri Muhyiddin Yassin,” katanya.