Shafie: Beri Kelonggaran Dasar Sekat Pertumbuhan Perniagaan

101

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Sabah mahu Kementerian Kewangan meneliti semula dasar-dasar kerajaan yang dilihat tidak lagi sesuai dalam keadaan persekitaran perniagaan pada masa kini.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal berkata, dalam menyuburkan ekonomi negara, dasar-dasar yang berkaitan dengan perniagaan mungkin boleh dilonggarkan bagi membolehkan usaha meningkatkan perniagaan dapat dilakukan.

“Kita mendapati sesetengah dasar tidak lagi sesuai disebabkan persekitaran yang sudah berubah. Maka, perubahan perlu dilakukan oleh Kementerian Kewangan Pusat.

“Seperti disebutkan Menteri Kewangan tadi dalam kekangan kewangan yang terbatas, usaha perlu dilakukan bagi membantu mana-mana sektor, bukan hanya dari aspek kewangan tetapi juga dasar yang boleh menyuburkan pertumbuhan ekonomi negara,” katanya semasa Sidang Media bersama Menteri Kewangan Lim Guan Eng sempema Sesi Dialog Bajet 2020, di sini pada Selasa.

Beliau berkata, dialog sebegitu merupakan satu pendekatan yang baik dalam mengambil kira suara dan pendangan masyarakat di peringkat akar umbi seperti penggiat industri yang terlibat dalam dunia perniagaan, agensi kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan sektor swasta.

“Dengan mengambil kira suara mereka, sedikit sebanyak ia akan mencorakkan warna dan keadaan belanjawan akan datang.

“Saya yakin Menteri Kewangan telah melaksana tugasnya dengan baik dalam membolehkan interaksi antara kerajaan dan rakyat peringkat bawahan. Suara mereka dapat didengari dari sudut yang positif dari segi langkah bagi mengatasi kekangan dan masalah di peringkat akar umbi,” ujarnya.

Mohd Shafie turut melahirkan penghargaan Kerajaan Sabah atas kelulusan peruntukan RM78 juta yang diberikan oleh Kerajaan Persekutuan bagi melaksana kerja membaikpulih sekolah daif di Sabah.

Katanya, langkah sebegitu akan membolehkan kerajaan membantu menyediakan prasarana lebih 30 buah sekolah untuk kemudahan anak-anak yang berada di luar bandar.