KM Arah Mesyuarat Kabinet Di Luar KK Supaya Pemimpin Dapat Jumpa Rakyat

374

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
TAWAU: Mesyuarat Kabinet Sabah yang diadakan setiap hari Rabu di Kota Kinabalu akan turut dibuat di daerah-daerah seluruh negeri secara berkala bagi membolehkan pemimpin turun padang bertemu rakyat dan melihat sendiri permasalahan yang timbul.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, langkah tersebut dilaksanakan supaya setiap wakil rakyat dapat memainkan peranan mendampingi akar umbi bukannya hanya turun padang semasa musim pilihan raya.

“Saya lakukan ini saya minya menteri-menteri datang sehari dua lebih awal, saya mahu mereka lawat agensi-agensi kerajaan supaya kita turun ke bawah bukan tunggu bila ada pilihan raya.

“Selepas ini saya akan kenal pasti di mana daerah yang akan dibuat lawatan, kita adakan mesyuarat Kabinet, turun ke bawah kenal pasti apa sebenarnya masalah rakyat kerana kita lebih tahu jika nampak dengan mata sendiri sebab kadang-kadang yang datang hanya surat dan laporan tentang masalah rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Kabinet Sabah di Tawau hari ini.

Mesyuart tersebut adalah yang kedua diadakan di luar Pejabat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS) di Kota Kinabalu selepas mesyuarat sama turun dijalankan di Sandakan sempena Pilihan Raya Kecil Parlimen Sandakan Mei lalu.

Mengulas tentang pembangunan Tawau, menurut Ketua Menteri, sebidang tanah milik kerajaan negeri akan dimajukan di situ melibatkan pembinaan hartanah seperti hotel dan rumah kedai.

Katanya, pembangunan itu penting untuk meningkatkan ekonomi Tawau dan sektor pelancongan yang pesat di daerah itu.

Selain itu, beliau berkata, cadangan telah diberikan kepada Malaysia Airport Berhad (MAB) supaya Lapangan Terbang Tawau ditambah baik terutama membabitkan penambahan stor simpanan hasil laut untuk dieksport.

“Kita banyak eksport udang tetapi tidak ada stor untuk penyimpanan seperti peti ais besar yang kita dapati bila penumpang mendaftar masuk, barangan semua pun sekali didaftar masuk jadi kaunter sesak.

“Sebab itulah perlu ada pembangunan pelbagai di situ, Ahli Parlimen Tawau, Datuk Christina Liew akan turut terlibat melihat apa yang perlu dibangunkan,” jelas beliau.