Shafie Yakin Pindaan Perlembagaan Disokong Demi Laksana MA63

2400

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
KUALA LUMPUR: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal (gambar) yakin lebih dua pertiga daripada ahli Parlimen akan menyokong jika usul pindaan Perlembagaan dibentang untuk memastikan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dapat dilaksanakan.

Beliau berkata, usul berkenaan dijangka dibentang dalam persidangan Dewan Rakyat kali ini yang akhirnya membawa kepada pelaksanaan MA63 dan menjadikan Sabah (dan juga Sarawak) sebagai rakan kongsi Semenanjung.

Katanya, beberapa perkara khusus termasuk permintaan-permintaan Sabah tentang pelaksanaan MA63 telah dibincangkan dalam mesyuarat tertutup bersama Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir minggu lalu, namun perkara itu tidak boleh didedahkan ketika ini.

“Menteri undang-undang telah pun maklumkan bahawa usul ini akan dibawa ke Parlimen jadi sudah tiba masanya untuk dilaksanakan MA63.

“Saya sendiri dan semua ahli Parlimen yakin akan menyokong pindaan itu kerana ini adalah perjanjian asal pembentukan Malaysia yang kita perlu laksanakan,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini (Isnin 11 Mac 2019).

Shafie yang juga Ahli Parlimen Semporna berkata, Kerajaan Persekutuan tiada pilihan selain melaksanakan tuntutan MA63 kerana itu adalah salah satu cara yang mesti dilakukan untuk menyentuh hati rakyat Malaysia khususnya Sabah dan Sarawak.

Tegasnya, perjanjian yang telah dipersetujui di peringkat antarabangsa itu sudah terlalu lama dibiarkan tidak terlaksana, justeru ini adalah masa terbaik untuk membuktikan kerajaan peka kepada permintaan rakyat semasa negara ditubuhkan.

“Suruhanjaya Cobbold yang mewakili suara orang Sabah, Sarawak dan Tanah Melayu ketika itu telah dibentuk dan mencapai satu persetujuan iaitu MA63 maka jika kerajaan mahu menyentuh hati rakyat inilah masanya.

“Ini adalah perjanjian yang telah dimeterai sejak zaman Tunku Abdul Rahman dan kita sebagai generasi baharu perlu melaksanakan apa yang telah dipersetujui,” tambahnya.

BERITA BERKAITAN: –

Sabah Hargai Langkah Kembalikan Status Rakan Sekutu Dalam MA63

MA63 Bakal Direalisasi Selepas Status Rakan Sekutu Dikembalikan