Shafie Apdal: Tokoh Kemerdekaan Sabah Sentiasa Dikenang, Dihargai

2925
Kerajaan Negeri Sabah sentiasa mengenang dan menghargai perjuangan tokoh terdahulu – Shafie Apdal.

PUTATAN: Kerajaan Negeri Sabah sentiasa mengenang dan menghargai perjuangan tokoh terdahulu dalam memastikan Sabah terus mengecapi kemerdekaan dengan bergabung bersama-sama Semenanjung dan Sarawak untuk membentuk negara Malaysia.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata Kerajaan Negeri akan memastikan penganjuran sambutan Hari Malaysia peringkat kebangsaan di Kota Kinabalu pada Ahad ini turut diisi dengan program menghayati pengorbanan tokoh terdahulu dan tidak terhad kepada penganjuran majlis besar-besaran di Padang Merdeka.

“Tarkih 16 Sept bererti kepada kita. Kita perlu memastikan kita melahirkan rasa penghargaan dan memperingati jasa pejuang kita dahulu yang telah menyumbang bakti dalam pembentukan Malaysia dan memajukan Sabah.

Shafie menyiram air mawar diatas pusara allahyarham Tun Datu Mustapha.

“Tidak mungkin kita dapat membentuk negara Malaysia tanpa tokoh-tokoh seperti Tun Datu Mustapha Harun, Tun Mohd Fuad Stephens dan Datuk GS Sundang.

Laut China Selatan dan perbezaan agama dan budaya antara kita tidak dapat memisahkan kita kerana jasa tokoh-tokoh ini,” katanya kepada pemberita selepas menziarah makam Yang Dipertua Negeri Sabah pertama Tun Datu Mustapha Harun di sini hari ini (Jumaat).

Datu Mustapha juga merupakan Ketua Menteri Sabah yang ketiga.

Dan juga di pusara allahyarham Tun Fuad Stephens.

Mohd Shafie turut mengingatkan rakyat supaya mengenepikan perbezaan politik dan agama dalam memperingati pejuang terdahulu dan menghayati pengorbanan mereka dalam membentuk dan memajukan negeri dan negara.

Beliau juga berharap rakyat, termasuk dari parti pembangkang, turut meraikan sambutan Hari Malaysia di Padang Merdeka, Kota Kinabalu pada Ahad ini sebagai tanda sayang kepada negara dan penghormatan kepada pejuang kemerdekaan terdahulu.

Selepas menziarahi makam Datu Mustapha, Mohd Shafie turut menziarahi makam Ketua Menteri Sabah pertama Tun Mohd Fuad Stephens di Masjid Negeri dekat sini dan seterusnya menunaikan solat Jumaat di masjid berkenaan.